Antara kaca danpermata globalisasi

Antara kaca dan permata globalisasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HIDUP dalam dunia tanpa sempadan memerlukan persediaan untuk berkongsi satu pentas besar bersama masyarakat dunia secara keseluruhannya.

Kini bukan lagi masanya untuk berada dalam zon selesa, hidup dan bersaing hanya sesama kita sahaja tetapi mesti bersedia mengorak langkah yang lebih besar dan mencabar bersama seluruh warga dunia secara kolektif.

Di sebalik cabaran dan dugaan era baharu yang lebih getir, hadir juga peluang-peluang baharu untuk menghasilkan kemajuan teknologi moden yang harus dimanfaatkan.

Dalam dunia serba moden hari ini, pergerakan manusia daripada satu benua ke benua yang lain sudah menjadi perkara biasa. Perjalanan yang dahulunya panjang, sukar dan mencabar kini menjadi lebih cepat dan mudah.

Hal ini memberi peluang kepada kita semua sebagai warga dunia untuk saling mengenali dan bergaul secara lebih dekat. Ia turut membuka pintu seluas-luasnya kepada kemasukan pelbagai idea baharu daripada seluruh dunia.

Dalam era pengglobalan ini, masyarakat dunia terdedah kepada pelbagai fahaman, nilai, sistem sosial dan unsur-unsur lain yang sebelumnya begitu asing kepada mereka.

Pendedahan kepada budaya yang berbeza membuka minda kita untuk melihat sesuatu isu dari sudut pandangan yang baharu. Begitu juga dengan kaedah menyelesaikan masalah yang adakalanya berbeza di seluruh dunia.

Maka, di sinilah pentingnya untuk berfikir secara matang dan bijaksana dalam menilai baik buruknya idea-idea baru yang menerjah masuk.

Bukan semua perkara yang datang dari luar adalah bagus. Kita tidak boleh menerima dan menyerapkan apa sahaja yang datang dari luar ke dalam kehidupan secara membuta tuli. Kita mesti bijak memilih di antara kaca dan permata kerana bukan semua yang baharu itu baik.

Ini juga bukan bermakna kita harus bersifat jumud dan tidak mahu menerima idea baharu. Sebagai contoh, di Jepun banyak pejabat kerajaan masih menggunakan cakera liut, lebih 20 tahun selepas teknologi tersebut lapuk. Mereka hanya menamatkan penggunaannya pada 2024, meskipun banyak sistem komputer tidak lagi menerimanya sejak 1998 kerana ketidakcekapannya.

Walaupun hal ini tidak wajar kita ikuti daripada Jepun kerana keengganan sesetengah daripada mereka untuk mengikut arus teknologi semasa, namun masih banyak perkara yang boleh dicontohi daripada negara tersebut.

Budaya keteraturan mereka yang tepat pada masa, bersih dan kemas amat wajar dicontohi, seperti kaedah 5S (sisih, susun, sapu, seragam, sentiasa amal) yang diterapkan di pejabat-pejabat kerajaan di negara ini.

Malah, ada yang katakan budaya keteraturan mereka ini lebih Islamik berbanding kelaziman amalan di Malaysia yang terkenal dengan tidak menepati waktu.

Pada masa sama, kita juga patut sedar bukan semua daripada budaya mereka boleh diterima, seperti budaya kelaghaan (sia-sia) yang juga sering dikaitkan dengan budaya meminum arak di negara itu.

Kesedaran ini penting supaya kita tidak mudah terkena kejutan budaya, lantas terikut dengan segala yang mereka lakukan termasuk yang buruk.

Adat budaya, nilai, prinsip serta cara hidup masyarakat dunia yang bermacam ragam itu ibarat mesti dipilih dan dicampur aduk dengan baik untuk menghasilkan kehidupan sejahtera. Jika kita ambil yang buruk, silap-silap ia boleh menjadi setitik nila bagi sebelanga susu bangsa.

Ada juga sifat dan nilai yang baik bagi sesetengah bangsa tetapi tidak sesuai jika diterapkan dalam kalangan budaya yang lain. Perkara ini amat penting untuk difahami kerana apabila kita melihat gambaran kehidupan ideal di media sosial, kita mungkin merasakan ia juga sesuai untuk diamalkan dalam konteks Malaysia.

 

PENERIMAAN budaya dan idea baharu dari negara luar penting, namun perlu disertai dengan kebijaksanaan dan kepekaan terhadap nilai sendiri. – AFP

BIJAK MEMILIH

Dalam dunia pendidikan umpamanya, terdapat pelbagai sistem pendidikan yang diguna pakai di dunia ini, kesemuanya dengan tujuan untuk mendidik anak bangsa supaya berjaya dengan cemerlang.

Namun, nilai kecemerlangan pelajar mungkin diukur dari sudut berbeza-beza. Di negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), kita melihat banyak kelonggaran yang diberi di sekolah-sekolah. Daripada ketiadaan pakaian seragam kepada kelonggaran silibus, kebebasan itu merangkumi identiti alam pendidikan mereka.

Namun unsur-unsur ini tidak semua boleh diguna pakai di Malaysia. Terutamanya dalam keadaan sekarang di mana ibu bapa belum dapat mengawal anak-anak serta memberi didikan dari rumah dengan baik, melonggarkan segalanya di sekolah hanya akan membawa masalah lebih besar.

Lebih-lebih lagi apabila kanak-kanak begitu terdedah kepada media sosial, mereka hanya akan tertarik dengan gerakan anarki yang sedang merebak dalam kalangan belia Malaysia dan melakukan banyak masalah di sekolah mahupun dalam masyarakat.

Begitu juga dengan perancangan bandar sebagai contoh. Di negara-negara Eropah, keutamaan pembangunan diberi kepada laluan pejalan kaki yang luas tanpa sebarang struktur di kelilingnya. Walaupun kita juga ingin meningkatkan kebolehjalanan di Malaysia, namun begitu faktor cuaca perlu dipertimbangkan juga.

Oleh itu, cara yang lebih sesuai di Malaysia adalah untuk mementingkan penanaman pokok dan pembinaan susur gajah agar pejalan kaki dapat berteduh daripada matahari dan hujan lebat. Ini lebih penting berbanding melebarkan laluan pejalan kaki, kerana jika laluan tersebut tidak berbumbung tiada sesiapa yang akan menggunakannya.

Jangan kita sangkakan dapat membuat semperit menggunakan acuan kuih lompang. Jelas sekali kaedah pembuatannya berbeza kerana ia merupakan makanan yang lain.

Namun jika kita dapat menginovasikan acuan semperit menggunakan teknologi moden untuk memudahkan penghasilannya, maka alatan tersebut akan sesuai dipakai. Tetapi jangan harap pula kuih lompang boleh dibuat dengan acuan yang sama.

Begitulah segalanya dalam kehidupan bermasyarakat ini. Mungkin disebabkan pengglobalan kita merasa kehidupan orang lain lebih ideal berbanding diri sendiri. Namun hakikatnya setiap masyarakat mempunyai caranya tersendiri.

Pada masa sama, kita mesti bersikap kritikal kerana masih ada perkara yang boleh dipelajari daripada budaya lain, bukan untuk diterapkan secara total tetapi untuk dijadikan contoh terhadap penambahbaikan diri.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN