Akar umbi lemah sebab pilih kasih

Akar umbi lemah sebab pilih kasih

Azlan Johar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sikap ‘pilih kasih’ menjadi antara faktor penyumbang kepada kemerosotan proses pembangunan bola sepak Malaysia, khususnya di peringkat akar umbi.

Perkara itu diakui bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar yang menganggap sistem pemilihan pemain di peringkat akar umbi menjadi penentu utama masa depan seseorang pemain.

“Yang rosakkan bola sepak Malaysia di akar umbi ialah pilih kasih, ini perkara paling pantang dalam bidang kejurulatihan. tetapi, perkara ini banyak berlaku sekarang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sikap ini tidak boleh hilang dari sanubari manusia. jadi, bila mana ada pertandingan dan pemilihan, lebih elok berhubung dengan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).

“Wakil daripada persatuan ini boleh bantu pilih dan cadangkan untuk sekolah atau kelab-kelab yang cari pemain. Kesian kepada pemain yang bagus yang dinafikan hak mereka.

“Bekas pemain yang ada sijil memang pakar dan boleh buat pemilihan dengan baik dan mereka juga tidak kenal mana-mana pemain, sekali gus boleh buat pemilihan secara telus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu katanya, bagi menyemarakkan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi, Azlan menyarankan agar pertandingan di peringkat sekolah diperkasakan lagi.

“Bercakap pasal pembangunan kalau dibandingkan dengan negara serantau yang menjadi saingan, kita setiap hari ketinggalan dan negara seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Kemboja sentiasa berkembang.

“Pada saya kalau pergi ke akar umbi kita terpaksa lakukan tugas menjadi lebih banyak dan lebih lebih rumit. Jadi, mengapa kita tidak gunakan sekolah sebagai platform awal untuk lahirkan bakat-bakat berkualiti?

“Contohnya Arif Aiman (Hanapi), dia bukan terus dilahirkan di peringkat akademi tetapi melalui sekolah dahulu. Jadi pertandingn diseklah wajar diperkasakan dengan permulaan pertandingan bawah 10 tahun,” katanya.

Ditanya mengenai jalan pintas membawa pemain muda dari luar negara untuk direkrut di peringkat akademi sebelum mewakili skuad kebangsaan, Azlan berkata, langkah tersebut bukan jaminan.

“Untuk memburu kejayaan besar, kita tidak boleh terburu-buru dan leka. Program (pembangunan) harus diperbaiki kerana setiap program ada kelemahan, sebab itu kita boleh lihat gaya permainan di setiap Piala Dunia berbeza.

“Sentiasa ada perubahan yang dilakukan oleh pasukan khususnya taktikal permainan dan semua itu dirangka dalam program pembangunan yang berkesan. Jika ambil bakat muda luar negara, kalau tidak boleh bermain atau gagal, ke mana kita nak campak mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini