PETALING JAYA: Harimau Malaya berada pada fasa ‘kritikal’ menjelang lapan hari lagi sebelum berdepan Laos dalam aksi ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 di yang berlangsung di Stadium Nasional Laos di Vientiane pada 9 Oktober ini.
Skuad kebangsaan dijangka mengumumkan senarai pemain dalam masa terdekat untuk menjalani latihan pusat menjelang aksi itu, namun dengan ketiadaan tujuh pemain warisan, ia pasti merencatkan perancangan Peter Cklamovski.
Sehubungan itu, pemain tempatan perlu berada dalam keadaan bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab bersama skuad kebangsaan jika dipanggil, terutamanya nama-nama yang menonjol dalam Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.
Ketika ini, tiada gambaran jelas mengenai nasib tujuh pemain warisan Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Dollah Salleh percaya Cklamovski sudah pun memiliki perancangan tersendiri untuk berdepan sebarang kemungkinan termasuk jika hukuman terhadap tujuh pemain berkenaan dikekalkan.
“Di Malaysia masih ramai lagi pemain dan beliau (Cklamovski) mesti mempunyai keyakinan untuk menentukan siapa pemain yang akan dipilih jika situasi negatif ini berlaku. Tetapi saya percaya semuanya akan positif.
“Saya percaya kita ada pemain tempatan yang berkebolehan, jika diberi kepercayaan oleh jurulatih, Insya-Allah tiada masalah. Saya yakin ramai pemain tempatan yang mampu cuma jika peluang itu datang disebabkan situasi ini, janganlah lepaskan.
“Mereka perlu tunjukkan kemampuan. Itulah yang kita inginkan, bukan pemain yang sekadar memenuhi kuota. Kita mahu pemain yang apabila diberi peluang, mereka akan merebutnya dan membuktikan kebolehan mereka,” katanya.
Selepas aksi 9 Oktober ini, Malaysia dijadualkan bertemu Laos sekali lagi di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum berdepan Nepal pada November dan akan menentang Vietnam dalam aksi kelayakan terakhir pada Mac tahun depan.
Selepas mengatasi Vietnam 4-0 d kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun lalu, Harimau Malaya dilihat sedang berada dalam momentum terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir selepas turut menang dalam aksi pembukaan 2-0 ke atas Nepal.
Ketika ini, skuad kendalian Cklamovski mendahului Kumpulan F dengan enam mata, mengatasi pasukan pilihan Vietnam yang berada di tangga kedua dengan tiga mata selepas dua perlawanan.
Ketika ini, FAM sedang menunggu penuh debar keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada untuk tujuh pemain warisan negara. – UTUSAN










