Tempoh 10 hari bukan rayuan – Nik Erman

Tempoh 10 hari bukan rayuan – Nik Erman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli menegaskan, tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada pihak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) adalah wajar.

Jelasnya, tempoh 10 hari yang diberikan FIFA untuk FAM memohon keputusan bersebab (motivated decision) daripada badan induk bola sepak dunia itu bukanlah tempoh rayuan.

Menurutnya, permohonan itu penting untuk FAM mengetahui secara lebih tepat kesalahan yang dikatakan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan itu, malah pemain terbaibit boleh menfailkan sendiri rayuan.

“Masa 10 hari adalah untuk FAM memohon motivated decision, bukan untuk buat rayuan. Masa untuk membuat rayuan hanya bermula selepas FAM dimaklumkan mengenai motivated decision tersebut.

“Tujuh pemain tersebut boleh secara sendirinya memfailkan rayuan juga; tidak perlu tunggu FAM kerana mereka pihak yang terlibat

“Daripada aspek undang-undang, selalunya rayuan hanya difailkan selepas mengetahui alasan sesuatu keputusan tetapi pandangan saya secara peribadi, memandangkan isu ini melibatkan FAM, suatu organisasi awam, rayuan perlu dilakukan juga bagi menjaga imej FAM

“Cuma tempoh masa nak buat rayuan tu saya tak jumpa pula. Rayuan dari Jawatankuasa Disiplin dan Jawatankuasa Rayuan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, FAM dalam satu kenyataan memaklumkan belum membuat sebarang rayuan kepada FIFA berhubung denda dan penggantungan tujuh pemain warisan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, badan induk itu ketika ini sedang menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada FIFA.

“FAM ingin memaklumkan pada ketika ini tiada sebarang perkembangan baharu berhubung isu keputusan penggantungan oleh FIFA. FAM masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada pihak FIFA.

“Proses rayuan hanya akan dimulakan sebaik sahaja dokumen penuh keputusan penghakiman itu diterima.

“Sehubungan itu, pihak FAM tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan atau perkembangan lanjut sehingga proses rayuan selesai sepenuhnya,” jelasnya.

Pada Jumaat lalu, FAM dan tujuh pemain warisan iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).

Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN