PETALING JAYA: Hari ini bukan sekadar hari pemilihan barisan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebaliknya detik yang bakal menentukan sama ada badan induk bola sepak negara itu mampu bangkit daripada kemelut atau terus bergelut dengan masalah yang sama.
Selepas melalui beberapa episod hitam dan paling mencabar dalam sejarah badan induk bola sepak negara itu, FAM kini berada di persimpangan penting untuk menentukan arah tuju baharu bagi baki penggal 2025-2029.
Kini segalanya terletak di tangan 25 perwakilan yang akan mengundi dalam Kongres Luar Biasa FAM, dengan setiap undi membawa amanah besar untuk memilih individu yang mampu memulihkan imej, pentadbiran dan keyakinan bola sepak negara.
Kongres tersebut akan menentukan pemegang 10 jawatan utama merangkumi Presiden, Naib Presiden 1, Naib Presiden 3, Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak (FA), Exco Kelab Bolasepak (FC), Exco Profesional dan Exco Wanita manakala jawatan Naib Presiden 2 diperuntukkan kepada Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Dalam suasana bola sepak negara yang masih berdepan pelbagai cabaran, ungkapan ‘jangan salah pilih’ bukan lagi sekadar peringatan biasa, sebaliknya mesej yang perlu difahami setiap perwakilan sebelum menanda kertas undi.
Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Datuk Christopher Raj mengingatkan bahawa individu yang dipilih perlu menjadi penyelesaian kepada masalah, bukannya menambah beban baharu kepada organisasi.
Tegasnya, tugas dan amanah itu dipikul oleh barisan perwakilan dalam menentukan individu yang layak serta tepat bagi memastikan FAM kembali ‘bersih’ daripada imej buruk.
“Gunakan peluang ini untuk memilih orang yang tepat, jangan pilih orang yang akan menjadi liabiliti kepada FAM. Kalau di persatuan negeri atau kelab anda tidak boleh selesaikan masalah seperti gaji dan sebagainya, tetapi anda nak pegang jawatan dalam persatuan induk, memang parah.
“Ini bukan jawatan untuk mencari glamor. Ahli gabungan perlu memilih individu yang benar-benar boleh membawa perubahan. Jangan salah pilih, kerana kalau salah pilih individu, selama lebih dua tahun FAM akan menanggung kepimpinan yang lemah.
“Ia seperti pilihan raya, kalau kita mengundi ahli parlimen yang tidak boleh bekerja untuk kita dan hantar dia ke parlimen, itu salah kita. Sebagai rakyat kita mempunyai undi dan kita nak memilih ahli parlimen yang boleh bekerja untuk rakyat,” katanya.
Kenyataan itu jelas menggambarkan betapa besarnya tanggungjawab yang dipikul perwakilan kerana barisan kepimpinan yang dipilih hari ini hanya mempunyai tempoh kira-kira dua tahun untuk memperbetulkan keadaan sebelum penggal semasa berakhir. – UTUSAN










