Pembangunan akar umbi jadi misi utama Mohd Faizul

Pembangunan akar umbi jadi misi utama Mohd Faizul

BEKAS Pemain Kuala Lumpur Bawah 19 Tahun (B-19), PDRM B-21, KL Plus dan skuad futsal Kuala Lumpur, Mohd Faizul Mohd Nor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Status sebagai antara calon termuda dalam perebutan kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menghalang Mohd Faizul Mohd Nor daripada memasang impian membawa perubahan kepada landskap bola sepak negara.

Sebaliknya, beliau percaya gabungan pengalaman sebagai bekas pemain dan pentadbir bola sepak selama lebih sedekad mampu menjadi aset penting untuk membantu memperkukuhkan pembangunan akar umbi serta melahirkan lebih ramai bakat berkualiti pada masa depan.

Mohd Faizul berkata, pembangunan pemain muda perlu terus diberikan keutamaan kerana ia merupakan asas kepada kekuatan bola sepak negara dalam jangka panjang.

“Fokus utama saya adalah pembangunan bakat muda, melahirkan pemain berkualiti untuk masa depan negara. Saya mahu pengalaman yang ada di peringkat Kuala Lumpur ini dibawa ke peringkat lebih luas supaya pembangunan akar umbi dapat diperkasakan dan menjadi asas kepada masa depan bola sepak Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Berbekalkan pengalaman sebagai pemain bersama Kuala Lumpur Bawah 19 Tahun (B-19), PDRM B-21, KL Plus dan skuad futsal Kuala Lumpur, Mohd Faizul mengakui latar belakang tersebut membantunya memahami cabaran yang dihadapi pemain di setiap peringkat pembangunan.

Menurutnya, pengalaman di atas padang yang digabungkan dengan penglibatan dalam pengurusan bola sepak memberi perspektif lebih menyeluruh mengenai keperluan sebenar pemain, kelab dan persatuan.

Mohd Faizul bukan nama asing dalam pentadbiran bola sepak ibu negara apabila pernah berkhidmat sebagai Ahli Exco Kuala Lumpur FA (KLFA) sejak 2019, selain memegang beberapa jawatan penting di peringkat persatuan dan kelab.

Katanya, pengalaman tersebut membuka ruang untuk beliau memahami kepentingan tadbir urus yang baik, pembangunan pemain yang tersusun serta kerjasama erat antara semua pihak dalam ekosistem bola sepak.

Selain memperkasakan pembangunan bakat muda, beliau turut berhasrat membantu meningkatkan standard pertandingan domestik supaya lebih kompetitif, profesional dan mampu menarik minat lebih ramai penyokong serta penaja.

Dalam masa sama, Mohd Faizul mahu melihat aspek tadbir urus diperkukuhkan melalui amalan yang lebih telus, berintegriti dan berakauntabiliti dalam setiap proses membuat keputusan.

Beliau turut menekankan kepentingan hubungan yang lebih erat antara kelab, persatuan bola sepak negeri, penaja dan komuniti bagi memastikan pembangunan bola sepak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Aspek infrastruktur juga tidak terlepas daripada perhatian apabila beliau melihat keperluan mewujudkan lebih banyak kemudahan berkualiti serta model pengurusan yang memudahkan akses kepada komuniti bola sepak.

Dengan Kongres Pemilihan Luar Biasa FAM semakin hampir, Mohd Faizul berharap pengalaman yang dikumpul sepanjang lebih sedekad dalam pengurusan bola sepak Kuala Lumpur dapat dimanfaatkan di peringkat nasional, khususnya dalam usaha membina laluan pembangunan yang lebih kukuh dari akar umbi hingga ke pentas tertinggi bola sepak negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×