PETALING JAYA: Semua calon yang bertanding dalam Kongres Luar Biasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Kedua, esok diingatkan supaya ukur baju di badan sendiri sebelum menerima amanah menerajui badan induk bola sepak negara itu.
Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Datuk Christopher Raj berkata, calon yang memenangi jawatan perlu memastikan mereka mampu memikul tanggungjawab besar, bukannya menjadi beban tambahan kepada FAM yang ketika ini berdepan pelbagai kemelut.

Menurutnya, calon yang masih gagal menyelesaikan masalah asas di peringkat negeri seperti tunggakan gaji dan caruman tidak sepatutnya menawarkan diri bertanding di peringkat kebangsaan kerana keadaan itu hanya akan memudaratkan organisasi.
“Sesiapa yang bertanding menjadi calon perlu ingat satu perkara kena ukur baju dekat badan sendiri. Kalau rasa tidak mampu, sebaiknya undur diri. Jangan bawa beban ke FAM.
“Kalau seseorang itu tidak boleh melakukan perubahan di peringkat negeri, macam mana untuk buat di peringkat nasional. Gaji pun persatuan tidak mampu bayar, minta pertolongan dan harap dana kerajaan negeri tetapi dicalonkan untuk jawatan FAM.
“Mereka perlu sedar, jawatan ini bukan untuk tujuan popular. Peminat mengharapkan individu yang terpilih ini mampu membawa bola sepak negara ke landasan yang lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Christopher berkata, FAM ketika ini ibarat sebuah kapal yang sudah sarat dengan pelbagai masalah, termasuk isu membabitkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), justeru barisan kepimpinan baharu tidak boleh menambah beban sedia ada.
Beliau turut menegaskan pemilihan kali ini bukan soal kem A atau kem B, sebaliknya semua pihak perlu kembali bekerjasama selepas kongres berakhir demi kepentingan bola sepak negara.
Bekas pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam FAM itu menyifatkan pemilihan kali ini sebagai antara yang paling sengit, terutama selepas pindaan statut menyaksikan jumlah kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) dikurangkan.
“Kalau nak tukar bola sepak negara, perwakilanlah yang memainkan peranan. Kalau mereka memilih pemimpin yang tidak mempunyai kualiti, kelayakan, bermasalah di peringkat negeri dan pengalaman cetek maka sukar untuk ada perubahan.
“Bila itu terjadu saya akan menyalahkan perwakilan, bukan individu tersebut. Salahkan diri sendiri kerana memilih pemimpin yang salah yang datang ke persatuan kebangsaan dan tidak boleh membetulkan keadaan.
“Ini tempoh yang paling pendek, tapi tidak memilih pemimpin berkualiti untuk keluarkan bola sepak negara daripada kemelut yang ada,” ujarnya.
Bercakap mengenai persaingan dua calon presiden, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, Christopher menyifatkan kedua-duanya mempunyai kelebihan serta pengalaman tersendiri.
“Kedua-dua individu memiliki kelebihan dan pengalaman masing-masing. Keputusan terpulang kepada para pewakilan nak pilih siapa untuk menjadi presiden.
“Paling penting individu itu dapat keluarkan bola sepak negara keluar daripada kemelut sekarang, ia sangat bagus,” katanya.-UTUSAN










