Tasik Chini perlu diberi nafas baharu, capai sasaran 2030

Tasik Chini perlu diberi nafas baharu, capai sasaran 2030

MATLAMAT Kongres Dunia Rizab Biosfera (WCBR) ialah untuk melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus ekosistem daratan, air dan marin menjelang 2030.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM UNESCO Man and Biosphere (MAB) yang ditubuhkan sejak 1971 telah menerajui serta mempromosikan kepentingan sains persekitaran dan pemuliharaan, melalui tapak-tapaknya, yang dikenali sebagai Biosphere Reserve (Rizab Biosfera).

Gabungan 759 tapak ini dipanggil Rangkaian Dunia Rizab Biosfera (WNBR), terdiri daripada 16 negara. Setiap 10 tahun, Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengadakan Kongres Dunia Rizab Biosfera (WCBR) untuk menilai kemajuan, berkongsi pengalaman dan menetapkan hala tuju masa hadapan Program MAB.

WCBR terakhir diadakan di Lima, Peru (2016), di mana Pelan Tindakan Lima (2016-2025) diterima pakai. WCBR ke-5, diadakan di Hangzhou, China bersama-sama dengan sesi ke-37 Majlis Penyelarasan Antarabangsa Program MAB, dari 22 hingga 26 September, lalu.

Kongres WNBR ke-5 menandakan detik penting bagi Program MAB. Perbahasan dan dialog antara negara-negara ahli membentuk Strategi dan Pelan Tindakan MAB, Pelan Tindakan Hangzhou (2026-2035) serta menetapkan trajektorinya untuk dekad yang akan datang sejajar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), sasaran biodiversiti global juga legasi Pelan Tindakan Lima.

Dalam ucapan Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay, Rizab Biosfera di seluruh dunia kini mencapai kejayaan besar. Sebanyak lima peratus daripada planet ini, dengan hampir 30 kawasan baharu pada tahun ini dirangkaikan sebagai Rizab Biosfera. Setiap tapak Rizab Biosfera menunjukkan keseimbangan antara pemuliharaan alam semula jadi dengan sosioekonomi mata pencarian setempat secara mampan.

Pihak UNESCO akan terus menggerakkan negara, saintis, masyarakat sivil, komuniti tempatan dan Orang Asli untuk meneruskan momentum positif ini.

Antara kejayaan Malaysia adalah penambahan satu lagi tapak iaitu Rizab Biosfera Kinabatangan di Sabah. Tahniah kepada Sabah yang kini mempunyai dua tapak Rizab Biosfera UNESCO.

Tibalah masanya juga Rizab Biosfera Tasik Chini (TCRB), yang kini bergelar pelopor Tapak Rizab Biosfera pertama menjadi contoh kepada biosfera lain dari segi pemuliharaan dan tadbir urus.

TCRB kini di tadbir urus oleh Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP), di bawah enakmen Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Taman Negeri Pahang 2021 yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2022.

Enakmen ini diperkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Antara fungsi-fungsi PTNP adalah memperkenalkan dan mempromosikan alam sekitar, sumber dan biodiversiti Taman Negeri Pahang. Antara fungsi yang terpenting adalah membangun, memulihara dan memelihara sejarah, budaya, flora dan fauna Taman Negeri Pahang.

Perbincangan di sesi-sesi utama UNESCO dengan badan-badan agensi lain seperti Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) banyak mencetuskan sasaran 30 x 30.

Sasaran 30 hingga 30 adalah matlamat pemuliharaan global di bawah Rangka Kerja Kepelbagaian Biologi Global Kunming-Montreal untuk melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus ekosistem kawasan daratan, air pendalaman dan marin dan pantai menjelang 2030.

Ini setimpal dengan hasrat Pengisytiharan Hangzhou, Sasaran Tindakan Program MAB dan WNBR untuk 2026-2035, yang mengalu-alukan agenda pembangunan mampan, memperkukuhkan sumber-sumber manusia serta kewangan dan terpenting, membangunkan penyelidikan serta memudahkan kehidupan harmoni dengan alam semula jadi.

Dengan adanya pengiktirafan dari pihak Kerajaan Negeri Pahang, zon-zon di TCRB akan dimanfaatkan sebagai zon utama, di mana kawasan zon ini akan dipelihara sebagai zon pemuliharaan biodiversiti yang uar-uarkan dalam fungsi-fungsi enakmen 2021.
Zon ini boleh memainkan peranan yang terpenting dalam pemuliharaan dan pemeliharaan. Semoga TCRB diberikan nafas baharu menerajui sasaran 30 x 30.

POTENSI PELANCONGAN

Zon penampan dan zon peralihan di TCRB dilihatkan sebagai kawasan yang berpotensi di sektor pelancongan dan meningkatkan pulangan ekonomi.

Beberapa kajian yang dijalankan di tapak Rizab Biosfera di Jerman menunjukan potensi ekonomi pelancongan berkait rapat dengan pengiktirafan dan pemeliharaan perkhidmatan ekosistem dalam kawasan terlindung.

Menghargai alam semula jadi dan kawasan yang dilindungi dapat membangkitkan kesedaran umum dan menyokong usaha pemuliharaan secara global.

Tadbir urus serantau seperti PTNP boleh memainkan peranan penting dalam pengurusan kawasan terlindung seperti TCRB ini.

Hala tuju tadbir urus TCRB oleh pihak PTNP dilihat menuju ke arah Pengisytiharan Hangzhou. Langkah-langkah jangka masa panjang untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem di Tasik Chini dikukuhkan dengan kelulusan rancangan pembangunan kawasan khas (RKK) Tasik Chini pada April 2016. Dokumen ini akan menjadi dokumen rujukan dalam mengawal pembangunan di kawasan TCRB.

Usaha-usaha begini akan membolehkan PTNP dicalonkan untuk penghargaan Anugerah Michel Batisse yang mengiktiraf rancangan kerja di tapak rizab biosfera yang selesai dicapai dalam Rangkaian Rizab Biosfera Dunia.

Satu lagi anugerah, Hadiah Sultan Qaboos UNESCO untuk Pemuliharaan Alam Sekitar ialah anugerah dwitahunan untuk memberikan pengiktirafan kepada sumbangan cemerlang oleh individu, kumpulan individu, institut atau organisasi dalam pengurusan atau pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan dasar, matlamat dan objektif UNESCO selain berkaitan dengan program Organisasi dalam bidang ini.

Hadiah berprestej ini diwujudkan melalui sumbangan kepada UNESCO oleh Sultan Qaboos Said Al-Said dari Oman pada 1989.

Banyak lagi insentif diberikan kepada WNBR, antara lain anugerah saintis muda rizab biosfera.

Pada tahun akan datang, Rizab Biosfera Tasik Chini akan dinilai sekali lagi untuk 20 tahun sebagai WNBR.

Saya percaya dengan kesungguhan tadbir urus oleh pihak PTNP, perancangan dan hala tuju RKK Tasik Chini yang mengukuhkan pembangunan manpan serta penyelidikan yang dijalankan oleh penyelidik di Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), gabungan penyelidik tempatan serta antarabangsa membolehkan Rizab Biosfera Tasik Chini mengukuhkan statusnya sekali lagi.-UTUSAN

PROFESOR Datuk Seri Mushrifah Idris ialah Profesor Kehormat di Pusat Penyelidikan Tasik Chini, Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal di Universiti Kebangsaan Malaysia (PPTC-ALAF UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN