Skuad B23 tidak gentar berdepan Vietnam

Skuad B23 tidak gentar berdepan Vietnam

Nafuzi Zain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad bawah 23 (B-23) tidak gentar berdepan Vietnam dalam saingan Kumpulan B di Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Chiang Mai, Thailand pada Disember ini.

Pengendali skuad B-23, Nafuzi Zain berkata, diundi bersama Vietnam yang juga juara Piala ASEAN 2024 tidak menghalang pasukannya memberi komitmen penuh dalam temasya dwitahunan itu.

“Saya amat teruja dengan keputusan undian bagi temasya Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung dari 3 hingga 18 Disember depan di Chiang Mai, Thailand, di mana skuad kebangsaan B-23 telah diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Laos.

“Kita sedar bahawa kita berada dalam kumpulan yang mencabar, terutamanya apabila bakal berdepan dengan Vietnam yang juga merupakan juara Piala ASEAN 2024. Namun, ia bukan alasan untuk menghalang kami memberi komitmen sepenuhnya dalam kejohanan kali ini.

“Kebanyakan pemain Laos juga merupakan sebahagian daripada skuad yang diturunkan ketika menentang Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 baru-baru ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Nafuzi berkata, sasaran utama pasukan adalah untuk mara ke peringkat separuh akhir terlebih dahulu, sebelum berusaha melangkah ke perlawanan akhir.

“Perancangan kami adalah untuk memulakan persiapan melalui sesi latihan berpusat pada penghujung bulan November, dan kami berharap dapat menghimpunkan barisan pemain terbaik bagi mewakili negara di temasya Sukan SEA tahun ini,” katanya.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas bola sepak di Sukan SEA adalah pada tahun 2011 di Indonesia, di mana skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika itu menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN