PETALING JAYA: Kegagalan Selangor FC menampilkan aksi konsisten dalam beberapa perlawanan terakhir membuka ruang kepada Imigresen FC untuk mendapatkan mata berharga dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri Pulau Pinang, hari ini.
Selangor FC kini dilanda masalah prestasi berikutan gagal mempamerkan aksi konsisten dalam empat perlawanan terakhir yang menyaksikan mereka buntu meraih sebarang mata dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Bangkok United dan Lion City Sailors.
Mereka turut tewas 1-0 kepada Kuching City FC dalam aksi liga pada 21 September lalu sebelum mencipta kemenangan 4-2 terhadap Tampines Rovers tiga hari kemudian dalam kempen Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).
Tidak cukup dengan itu, pengendalinya, Katsuhito Kinoshi mendapat kejutan apabila menjadi jurulatih Liga Super pertama yang ‘direhatkan’ bagi musim ini pada 26 September lalu dan tempatnya diambil alih Christophe Gamel buat sementara.
Imigresen FC sehingga kini masih gagal mencari kemenangan dalam kempen liga selepas lima perlawanan, menghuni tangga kedua tercorot namun pengendalinya, Yusry Che Lah mengakui ini masa terbaik untuk mereka mendapatkan tiga mata berharga.
“Kesempatan yang baik untuk kita melakar kemenangan namun saya tegaskan di sini, Selangor tetap Selangor dan bukan bermakna mereka lawan yang mudah untuk ditewaskan. Kami kena berikan aksi yang terbaik,” katanya.
Bekas pemain kebangsaan itu turut menuntut agar pemainnya dapat mengekalkan disiplin yang tinggi seperti mana mereka lakukan dalam sesi latihan menjelang pertemuan hari ini.
“Jika pemain tidak fokus dan yakin, segala perancangan pasukan tidak akan menjadi. Penting untuk setiap pemain kekal komited dan pamer disiplin yang tinggi pada hari perlawanan,” katanya. – UTUSAN










