PETALING JAYA: Selangor FC menutup tirai saingan Liga Super dengan ledakan bergaya apabila membenam PDRM FC 6-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), namun pesta gol itu masih gagal mengubah nasib Gergasi Merah untuk mengintai pentas Asia musim depan.
Aksi terakhir liga itu menjadi pentas milik Mukhairi Ajmal yang tampil luar biasa apabila meledak hatrik sekali gus mengetuai kebangkitan garang skuad kendalian Kim Pan Gon.
Seawal minit kelapan, tonggak tengah kebangsaan itu membuka tirai jaringan sebelum menggandakan gol peribadinya pada masa kecederaan babak pertama bagi membantu Selangor selesa mendahului 4-0 sebelum rehat.
PDRM yang bergelut sepanjang musim dilihat gagal mengekang asakan bertali arus tuan rumah apabila benteng Sang Saka Biru terus dihukum.
Alvin Fortes turut mencuri tumpuan menerusi dua jaringan pantas dalam tempoh dua minit apabila pemain import itu terlebih dahulu menemui sasaran menerusi sepakan percuma pada minit ke-27 sebelum sekali lagi merobek gawang lawan pada minit ke-29.
Selangor tidak memperlahankan rentak pada separuh masa kedua apabila Aliff Izwan Yuslan menambah derita pelawat dengan gol kelima sejurus permainan bersambung.
Ketika perlawanan menghampiri penghujung, Mukhairi melengkapkan malam gemilangnya menerusi satu lagi sepakan percuma menarik pada minit ke-88 untuk menandatangani hatrik penuh bergaya.
Kemenangan besar itu meletakkan Selangor mengumpul 52 mata keseluruhan, namun tiga mata yang diraih tetap tidak mencukupi untuk memintas Kuching City FC dalam perebutan tempat kedua.
Kuching City memastikan mereka kekal menghuni tangga naib juara selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 1-0 dan menutup musim dengan 53 mata.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Selangor terpaksa berpuas hati di tangga ketiga, selain terlepas peluang meraih tiket automatik ke saingan Asia musim depan.
Bagi PDRM pula, kekalahan memalukan itu melengkapkan musim yang sukar apabila mereka menutup kempen Liga Super di tangga tercorot dengan hanya 11 mata.
Namun di sebalik kekecewaan terlepas pentas Asia, kemenangan besar itu sekurang-kurangnya hadir tepat pada waktunya buat Selangor yang kini mengalihkan fokus ke aksi final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), Rabu ini.-UTUSAN










