BARCELONA: Paris Saint-Germain (PSG) yang dilanda krisis kecederaan bakal turun tempang berdepan Barcelona pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Estadi Olimpic Lluis Companys, awal pagi esok.
Skuad kendalian Luis Enrique kehilangan beberapa tonggak utama, antaranya Ousmane Dembele iaitu pemenang Ballon d’Or 2024-25 yang meledak 35 gol musim lalu.
Pemain sayap Perancis berusia 28 tahun itu sepatutnya berdepan bekas kelabnya, namun masih belum pulih daripada kecederaan paha yang dialami bersama skuad kebangsaan Perancis.
Selain Dembele, PSG turut kehilangan Desire Doue, Marquinhos serta Joao Neves, manakala Vitinha dan Khvicha Kvaratskhelia ditimpa masalah kecergasan hujung minggu lalu.
Situasi itu menyaksikan pilihan Enrique semakin terhad ketika berdepan Barcelona yang berada dalam prestasi terbaik.
“PSG bukan satu-satunya pasukan yang berdepan kecederaan. Setiap pasukan melalui jadual padat.
“Kami perlu kekal positif dan bekerja keras untuk membawa pulang keputusan positif. Tentu sekali berdepan Barca adalah perlawanan yang sukar tetapi saya tetap percaya dengan pemain yang ada,” kata Enrique selepas kemenangan 2-0 ke atas Auxerre.
Musim lalu, PSG bermain 65 perlawanan termasuk 17 aksi Liga Juara-Juara dan tujuh di Piala Dunia Kelab, sebelum tewas 3-0 kepada Chelsea pada kempen yang berakhir Julai.
Beban perlawanan itu kini menjejaskan kecergasan tonggak mereka, dengan Hakimi misalnya sudah beraksi 131 perlawanan untuk kelab dan negara sejak tahun 2023.
Walaupun dibelenggu krisis kecederaan, PSG tetap berkunjung ke Catalunya dengan keyakinan selepas membelasah Atalanta 4-0 pada aksi pembukaan Eropah dua minggu lalu. – AGENSI/UTUSAN









