PETALING JAYA: Skuad Petanque wanita negara mencipta sejarah membanggakan apabila muncul juara Piala Negara di Kejohanan Dunia Petanque Wanita 2025 selepas menewaskan Itali dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik di Douai, Perancis, kelmarin.
Malaysia yang dibarisi Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali, Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz, Jasnina Jasmine Johan Johnson dan Nur Durratul Sahira Yazit, di bawah bimbingan jurulatih Nasir Mohd Noor, menewaskan Itali untuk menjuarai kejohanan berprestij itu.
Sementara itu, tempat ketiga bagi kejohanan ini dikongsi bersama oleh Belanda dan Austria.
Presiden Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MSBF), Datuk Cheah Ban Cheng, menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti kemampuan skuad wanita negara bersaing di pentas dunia, selain menjadi suntikan semangat menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.
“Dalam kejohanan dunia sebelum ini, pasukan kita bermain dengan sangat baik, cuma tewas di peringkat akhir kelayakan kepada Ukraine untuk ke kelompok 16 terbaik.
“Kali ini mereka bangkit luar biasa dan mara hingga ke pentas akhir,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, sebanyak 24 negara bersaing dalam kejohanan tersebut, namun skuad Malaysia berjaya mengekalkan prestasi cemerlang hingga ke perlawanan akhir yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia.
“Aksi pemain-pemain muda kita benar-benar memukau. Ramai penonton luar mengakui kehebatan mereka, dan kejayaan ini membuktikan Malaysia kini semakin dihormati dalam arena Petanque wanita antarabangsa,” katanya.
Cheah turut mengesahkan bahawa keempat-empat pemain yang menjuarai kejohanan dunia itu telah disenaraikan dalam skuad rasmi Sukan SEA 2025.
“Skuad ini memang sudah dinamakan dalam senarai utama ke temasya Sukan SEA. Sekarang mereka berada di fasa terakhir persiapan dengan latihan pusat bagi memastikan prestasi berada di tahap terbaik,” jelasnya. – UTUSAN







