PETALING JAYA: Peluang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menang dalam kes rayuan terhadap hukuman yang dikenakan ke atas tujuh pemain warisan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) nampak tipis.
Bagaimanapun, jika peguam sukan antarabangsa, Serge Vittoz yang mewakili FAM mampu meneliti dan kesalahan fakta dan kesalahan undang-undang dalam hukuman yang dikenakan oleh FIFA, tidak mustahil keputusan boleh berubah.
Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli menjelaskan, antara kesalahan fakta termasuk mengemukakan bukti baru atau memperbetulkan kesilapan teknikal yang kerap diberitahu FAM.
Katanya, peguam yang dilantik perlu mengemukakan bukti dokumen yang diperolehi FIFA adalah tidak betul atau palsu atau carian Investigatory Report FIFA adalah salah atau tidak tepat.
“Antara kesalahan undang-undang termasuk dapatan FIFA bahawa kesalahan ini adalah kesalahan ‘strict liability’ iaitu tidak memerlukan bukti niat atau bukti pengetahuan, FAM tidak patut dipersalahkan diatas kesalahan yang tidak dilakukan oleh FAM atau pegawai-pegawainya.
“Peluang FAM banyak bergantung kepada bukti yang kononnya ada di tangan mereka. Oleh kerana FAM tidak mendedahkan bukti ini, agak sukar untuk menentukan peluang FAM dalam keputusan rayuan nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Nik Erman berkata, daripada keputusan rayuan esok, terdapat kemungkinan FIFA boleh mengurangkan hukuman (terutama jika ketiadaan niat dan pengetahuan dapat dibuktikan FAM), mengekalkan hukuman ataupun lebih berat hukuman ditambah.
“Jika FAM masih tidak berpuas hati dengan Keputusan FIFA di peringkat rayuan ini, FAM boleh membawa kes kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Lausanne, Switzerland.
“Artikel 50 Statut FIFA memberi masa selama 21 hari daripada tarikh menerima keputusan bagi FAM memfailkan rayuan ke CAS,” jelas Nik Erman.
Pada September lalu, tujuh pemain warisan digantung FIFA selama setahun dan dikenakan denda CHF2,000 (RM11,000), melibatkan Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca, manakal FAM didenda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta).
Bertindak balas atas hukuman tu, FAM menerusi Viitoz telah membuat rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA dengan melampirkan segala butiran penting termasuk sijil kelahiran datuk tau nenek kesemua pemain terbabit bagi membuktikan susur galur mereka.
Baru-baru ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail juga berpendapat hukuman FIFA tujuh pemain warisan dan FAM tidak akan berubah, namun baginda tidak menolak kemungkinan besar hukuman diringankan dan pemotongan mata bakal dikenakan terhadap Harimau Malaya.
“Kemungkinan pasukan kebangsaan akan dipotong mata dan pemain tersebut digantung, berapa lama mereka akan digantung saya tidak tahu, tetapi pihak peguam daripada pasukan kebangsaan akan menjalankan tugasnya,” katanya Tunku Mahkota Ismail. – UTUSAN










