PETALING JAYA: Dalam suhu serendah 11 darjah Celsius di Energia Arena, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah membuktikan mereka tidak ‘beku’ apabila memulakan kempen Terbuka Artik dengan kemenangan bergaya, semalam.
Walaupun beraksi dalam cuaca dingin Finland, gandingan No. 2 dunia itu tampil ‘panas awal’ untuk menumpaskan pasangan Denmark, Natasja P. Anthonisen-Amalie Cecilie Kudsk dalam masa 32 minit.
Pearly-Thinaah tidak memberi ruang kepada lawan mereka apabila menamatkan aksi straight set 21-13, 21-14 bagi menempah tiket ke pusingan kedua.
Kemenangan itu menjadi pembakar semangat buat mereka yang kini memburu gelaran kedua musim ini selepas beberapa kali terhenti di pentas akhir.
Menanti mereka hari ini ialah pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari yang pernah mereka tewaskan dua kali sebelum ini di Terbuka Hong Kong dan China Masters pada September lalu.
Rekod 2-0 itu pastinya memberi kelebihan mental kepada Pearly-Thinaah yang kini berada di landasan tepat untuk mara ke suku akhir.
Namun, di sebalik permulaan meyakinkan itu, gandingan negara perlu kekal fokus kerana laluan ke final dijangka menemukan mereka dengan pasangan No. 1 dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Pasangan China itu kekal menjadi ‘hantu’ buat Pearly-Thinaah selepas menewaskan mereka lima kali di pentas final sejak tahun lalu.
Ironinya, Pearly-Thinaah juga merupakan finalis edisi tahun lalu di Terbuka Arctic apabila tunduk kepada gandingan China itu di perlawanan akhir, sekali gus menjadikan edisi kali ini medan terbaik untuk menebus kekecewaan tersebut. – UTUSAN










