PETALING JAYA: Meskipun aksi Liga Super belum sampai ke pertengahan musim, kejuaraan edisi kali ini tampak hampir pasti kekal milik Johor Darul Ta’zim (JDT) berdasarkan prestasi konsisten dan kekuatan skuad Harimau Selatan yang sukar digugat 12 pasukan yang lain.
Bermakna, musim ini sama seperti 11 edisi sebelum ini menyaksikan perebutan
kedudukan naib juara menjadi buruan 12 pasukan lain susulan perbezaan daripada pelbagai segi antara JDT dengan pasukan lain terlalu ketara.
Pandangan itu disuarakan oleh bekas pemain kebangsaan, Rudie Ramli yang melihat konsistensi ditunjukkan JDT berbanding 12 pasukan lain sangat ketara, selain lawan mereka itu masih tercari-cari rentak serta kestabilan permainan.
Justeru, secara realistiknya pemburuan naib juara adalah perebutan terbaik untuk 12 pasukan berkenaan untuk musim ini.
“Bukan menindak kemampuan pasukan lain tetapi selepas lapan perlawanan berlangsung, menuju pusingan pertama Liga Super berakhir, JDT bukan sahaja kekal rekod kemenangan bersih tetapi telah menjaringkan 43 gol.
“Kuala Lumpur (City) yang kita lihat sebagai pencabar terdekat dan belum kalah hingga kini tetapi kehilangan mata sewaktu seri dengan Selangor. Keputusan itu menunjukkan mereka juga tiada konsistensi seperti JDT.
“Bagi saya, realistiknya persaingan naib juara menjadi rebutan buat 12 pasukan manakala JDT akan terus melakar rekod menjulang kejuaraan ke-12 Liga Super berturut-turut,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Setakat minggu ini, JDT dan KL City merupakan pasukan yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah manakala 10 pasukan lain telah tewas.
JDT kini mengumpul 24 mata hasil lapan kemenangan, KL City menjadi pencabar terdekat dengan mengutip 17 mata dan Kuching City di tangga ketiga (14 mata).
Melaka FC dan Imigresen FC pula masih tercari-cari rentak kemenangan, dimana kedua-dua pasukan itu berkongsi tiga mata serta berada di kedudukan ke-12 dan 13 Liga Super setakat ini. – UTUSAN










