KUALA LUMPUR: Penganjuran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di negara ini bergantung sepenuhnya kepada kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) walaupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah menyatakan keperluan meneruskannya.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya perlu mengemukakan justifikasi kukuh dan data pulangan ekonomi sebenar bagi meyakinkan MOF bahawa pelaburan besar dalam acara pemotoran berprestij dunia itu memberikan pulangan yang menguntungkan.
“Saya telah berjumpa dengan Dorna (penganjur MotoGP) dan menyatakan hasrat kerajaan untuk memperbaharui kontrak.
“Namun, MOF memerlukan data terperinci untuk memastikan perbelanjaan ini berbaloi serta memberi impak ekonomi positif kepada Malaysia,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Naik Taraf Kompleks Sukan Jalan Raja Muda di Kampung Baru, semalam.
Beliau menegaskan, MotoGP bukan sekadar acara sukan, sebaliknya pemangkin ekonomi yang menjana ribuan peluang pekerjaan serta menarik kemasukan pelancong ke negara ini.
“Tahun lalu, hampir 4,000 peluang pekerjaan diwujudkan menerusi penganjuran MotoGP. Tahun ini pula, jualan tiket melebihi 90 peratus dan kehadiran penonton meningkat dengan ketara,” ujarnya.
Sebagai rekod, kontrak semasa penganjuran MotoGP Malaysia akan berakhir pada 2026, dengan edisi tahun ini mencatat kehadiran lebih 190,000 penonton sepanjang tiga hari perlumbaan di Sepang.
Dalam pada itu, Hannah turut mendedahkan visi jangka panjang kerajaan untuk menjadikan SIC sebagai hab sukan pemotoran serantau, bukan sekadar litar perlumbaan semata-mata.
“Saya nampak potensi besar di Sepang. Tanah sekeliling litar boleh dibangunkan sebagai bengkel, akademi pemotoran atau destinasi pelancongan berasaskan sukan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hannah berkata, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif akan mengetuai rundingan bersama Dorna mengenai terma kontrak baharu berkenaan.
“Saya amat berharap kontrak ini dapat dilanjutkan. Tanpanya, Malaysia akan kehilangan satu-satunya acara bertaraf dunia di Sepang yang mampu menarik ribuan penonton dalam satu masa,” tegasnya. – UTUSAN










