LOS ANGELES: Lionel Messi mahu bermain untuk Argentina dalam Piala Dunia tahun depan, bergantung isyarat tubuhnya sebelum memutuskan sama ada impian itu dapat direalisasikan.
Penyerang berusia 38 tahun yang kini bersama Inter Miami dalam liga MLS itu telah membawa Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 dan berhasrat untuk kembali ke padang apabila “Albiceleste” mempertahankan kejuaraan tersebut tahun depan di Amerika Utara.
Pemenang lapan kali Ballon d’Or itu memberitahu NBC News dalam satu temu bual yang disiarkan Isnin lalu bahawa beliau akan menilai keadaan tubuhnya tahun depan sebelum memutuskan sama ada boleh bermain dalam Piala Dunia yang akan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
“Adalah sesuatu yang luar biasa dapat berada di Piala Dunia dan saya sangat ingin mengalaminya.
“Saya ingin berada di sana, berada dalam keadaan baik dan menjadi sebahagian penting dalam membantu pasukan kebangsaan saya, jika saya berada di sana.
“Saya akan menilai perkara itu dari hari ke hari apabila saya memulakan pra-musim bersama Inter tahun depan dan melihat sama ada saya benar-benar boleh berada pada tahap 100%, sama ada saya boleh memberi sumbangan kepada kumpulan, kepada pasukan kebangsaan, dan kemudian membuat keputusan,” kata Messi, yang akan berusia 39 tahun pada Jun depan
Messi, yang telah bermain secara profesional sejak tahun 2004, mahukan peluang sekali lagi untuk beraksi di pentas bola sepak terbesar dunia.
“Saya sangat teruja kerana ia adalah Piala Dunia. Kami baru sahaja memenangi Piala Dunia yang lalu dan dapat mempertahankannya sekali lagi di atas padang adalah sesuatu yang luar biasa kerana ia sentiasa menjadi impian untuk bermain bersama pasukan kebangsaan, terutamanya dalam pertandingan rasmi,” ujarnya.
Messi, yang membuat penampilan sulung bersama Barcelona dalam La Liga pada usia 17 Messi telah membuat 195 penampilan bersama pasukan kebangsaan Argentina dan menjaringkan 114 gol. – AFP/UTUSAN










