PENAMPILAN keenam Lionel Messi di pentas Piala Dunia mungkin bukan sekadar satu lagi final buat Argentina, sebaliknya berpotensi menjadi hadiah terakhir yang mampu melengkapkan karier pemain yang dianggap terhebat dalam sejarah bola sepak sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada pentas antarabangsa.
Segala-galanya bermula jauh dari sorakan puluhan ribu penyokong di Stadium MetLife apabila seorang kanak-kanak bertubuh kecil dari Rosario, Argentina, hanya memiliki satu impian iaitu bermain bola sepak seperti idola-idolanya.
Impian itu hampir musnah apabila Messi disahkan menghidap masalah kekurangan hormon tumbesaran ketika berusia 11 tahun sehingga keluarganya tidak mampu menanggung kos rawatan yang tinggi sebelum Barcelona tampil membuka jalan dengan menawarkan kontrak serta membiayai rawatannya.
Keputusan berhijrah ke Sepanyol menjadi titik perubahan terbesar dalam hidupnya apabila Messi berkembang menjadi pemain paling penting Barcelona dengan memenangi segala kejuaraan utama termasuk Liga Juara-Juara Eropah, La Liga dan Ballon d’Or sehingga namanya mula disebut sebagai antara pemain terbaik sepanjang zaman.
Namun, sehebat mana kejayaannya bersama Barcelona, satu perkara sentiasa menghantuinya apabila dia gagal menghadiahkan trofi utama buat Argentina meskipun beraksi dalam empat final termasuk Piala Dunia 2014 dan dua Copa America berturut-turut.
“Bagi saya, karier bersama pasukan kebangsaan sudah berakhir. Saya sudah melakukan segala yang termampu.
“Saya beraksi dalam empat final dan sangat menyakitkan apabila gagal muncul juara,” kata Messi.
Kata-kata itu lahir bersama air mata selepas Argentina tewas kepada Chile pada final Copa America 2016 di Stadium MetLife, gelanggang yang kini sekali lagi menjadi saksi perjalanan kariernya sedekad kemudian.
Ketika seluruh Argentina diselubungi kesedihan, Diego Maradona tampil merayu supaya Messi tidak mengakhiri karier antarabangsanya kerana percaya negaranya masih memerlukan sentuhan kapten tersebut.
“Dia perlu kekal bersama Argentina kerana masih banyak yang mampu diberikannya kepada negara ini.
“Dia masih mempunyai masa depan yang panjang bersama pasukan kebangsaan,” kata Maradona.
Rayuan legenda itu akhirnya mengubah keputusan Messi apabila hanya enam minggu kemudian dia kembali menyarung jersi Argentina dan mengakui cintanya terhadap negara jauh lebih besar daripada kekecewaan yang dirasai.
“Banyak perkara bermain di fikiran saya pada malam final itu dan saya benar-benar mempertimbangkan untuk bersara.
“Tetapi rasa cinta terhadap negara dan jersi ini terlalu besar,” katanya.
Keputusan itu menjadi permulaan era baharu Argentina apabila Lionel Scaloni berjaya membentuk skuad yang kemudian menamatkan kemarau 28 tahun tanpa kejuaraan menerusi Copa America 2021 sebelum Messi akhirnya mengangkat trofi Piala Dunia di Qatar pada 2022 dan mempertahankan Copa America tiga tahun kemudian.
Kini, pada usia 39 tahun, Messi kembali ke Stadium MetLife bukan sebagai pemain yang dibelenggu kegagalan, tetapi sebagai juara dunia yang hanya selangkah lagi untuk menghadiahkan Argentina trofi Piala Dunia kedua berturut-turut.
Jika trofi itu berjaya dijulang, bab terakhir karier antarabangsa Messi bukan sahaja akan dikenang sebagai kisah penebusan paling agung dalam sejarah bola sepak, malah menjadi penutup paling sempurna buat seorang legenda yang mengubah air mata menjadi keabadian.










