PETALING JAYA: Semua mata pasti tertumpu kepada perlawanan Malaysia berdepan Laos bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Laos di Vientiane, malam ini.
Bukan sahaja bahang perlawanan, tetapi maruah Malaysia juga menjadi taruhan malam ini sama ada mampu melakar kemenangan ke atas Loas tanpa khidmat tujuh pemain warisan.
Atas kertas anak buah Peter Cklamoski dijangka tidak berdepan masalah untuk menumpaskan Million Elephants, namun segalanya bergantung kepada prestasi atas padang malam ini.
Tanpa tujuh tonggak warisan yang telah digantung Persekutuan Bolasepak Antabangsa (FIFA), Malaysia mempertaruhkan anak tempatan serta pemain warisan dan naturalisasi yang ‘bersih’.
Malaysia tidak tewas kepada Laos dalam lima pertembungan terakhir dan sudah pasti Cklamovski mahu mengekalkan rekod itu bagi menjaga kredibiliti sebagai jurulatih berkaliber.
Kali terakhir Malaysia tewas kepada Laos ialah ketika ‘tragedi’ aksi peringkat kumpulan Sukan SEA 1997, ketika itu, skuad negara tewas 0-1 menerusi jaringan Keolakhone Channiphone.
Ketika ini, Malaysia berada di tangga teratas Kumpulan F dengan enam mata, mengatasi Vietnam yang mengumpul tiga mata dan Laos (tiga mata) serta Nepal ditangga tercorot. – UTUSAN










