PETALING JAYA: Kem badminton negara hanya mempunyai kira-kira enam bulan untuk memperkukuh barisan perseorangan lelaki sebelum misi getir ke Piala Thomas 2026 dengan Datuk Seri Lee Chong Wei mengakui tempoh itu amat singkat untuk mengubah keadaan jika tiada langkah drastik.
Selepas kali terakhir menjulang Piala Thomas pada 1992, skuad negara masih belum menemui keseimbangan antara perseorangan dan beregu, dengan bahagian ‘single’ kekal sebagai kelemahan ketara.
Legenda badminton negara itu berkata, fokus utamanya kini ialah bekerjasama rapat dengan barisan kejurulatihan, khususnya Kenneth Jonassen, bagi mencari jalan memulihkan semula kekuatan perseorangan negara.
“Kalau perseorangan lemah, memang sukar nak menang. Beregu boleh beri dua mata, tapi kalau ‘single’ tak boleh sumbang satu pun, tak ada guna. Thomas Cup ni pasukan, bukan individu.
“Saya kena tahu apa masalah mereka. Jurulatih seperti Rexy (Mainaky) dan Kenneth (Jonassen) tahu apa yang perlu dijaga, saya akan bantu dari situ,” kata Chong Wei.
Beliau menegaskan agar pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen diberi masa sekurang-kurangnya satu penggal, memandangkan jurulatih Denmark itu baru lapan bulan berada di Malaysia dan mewarisi pasukan yang sudah kekurangan pemain berpotensi sejak awal.
“Memang kita bergantung pada Leong Jun Hao, Ng Tze Yong baru selepas pembedahan dan Justin Hoh masih muda. Kita kena beri Kenneth masa. Sebelum dia datang pun kita tahu memang tiada pemain,” katanya.
Namun, baki enam bulan ini dianggap tempoh penting kerana tiga atau empat kejohanan utama seperti All England, Terbuka Malaysia dan Kejohanan Asia akan menjadi ukuran sejauh mana perubahan dapat dilihat sebelum Thomas Cup.
Jika dibandingkan dengan China, Indonesia, Jepun dan Denmark, Malaysia masih jauh ketinggalan kerana semua negara itu memiliki pemain perseorangan yang konsisten di kelompok 10 terbaik dunia.
“Memang susah nak kejar mereka dalam masa singkat, tapi kalau pemain kita berdisiplin dan cepat serasi dengan jurulatih, saya percaya kita boleh beri saingan,” katanya. – UTUSAN











