PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski melaungkan keyakinan anak buahnya sudah bersedia sepenuhnya untuk mengutip tiga mata penuh ketika berdepan Laos alam aksi kelayakan Piala Asia 2027, malam ini.
Menurut Cklamovski, persiapan pasukan berjalan dengan lancar dan beliau yakin semangat berpasukan yang kuat akan membantu Harimau Malaya untuk berdepan Laos yang dianggap sebuah pasukan yang mampu memberi cabaran sengit.
“Kami telah melakukan persiapan sebaik mungkin untuk meraih kemenangan esok (hari ini), kami mengambil perlawanan ini dengan penuh hormat terhadap lawan yang sukar dan saya boleh katakan kami bersedia untuk aksi sengit.
“Kami akan cuba untuk mengekalkan rekod tanpa bolos, pemain akan mempamerkan kualiti yang dimiliki untuk letak Laos dalam tekanan dan kita akan cuba menjaringkan gol sebanyak yang mungkin malam esok (hari ini).
“Mentaliti pemain sangat baik, kami perlu bekerja keras bersama-sama untuk menang dan kami dalam perasaan yang baik untuk itu (menang),” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan ketiga kelayakan Piala Asia 2027, semalam.
Ditanya mengenai hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan, Cklamovski berkata, perkara itu di luar kawalannya dan hanya fokus kepada pasukan.
“Saya faham terdapat banyak perkara berlaku ketika ini, tetapi ia tidak dikawal oleh kami dan ia tiada kaitan dengan kami kerana fokus diberikan untuk berdepan Loas. Kami mempersiapkan pasukan yang kuat untuk berdepan lawan yang sukar.
“Jika berfikir tentang perkara luar, ia akan mengganggu fokus pasukan. Sekarang kami akan membangunkan pasukan yang kuat untuk penyokong, beri mereka aspirasi dan harapan dengan cara kami bermain serta kepercayaan bahawa kami boleh melakukan sesuatu yang istimewa.
“Fokus kami adalah untuk memastikan persiapan kami betul, membina semangat dalam pasukan dan seperti yang saya katakan, kami telah bersedia dengan baik untuk hari penting di atas padang,” katanya.
Sementara itu kapten Harimau Malaya, Dion Cools berharap rakan sepasukan dapat mempamerkan aksi terbaik untuk memastikan Malaysia berada di landasan terbaik untuk mara ke Piala Asia 2027.
“Semua negara mahu layak ke Piala Asia 2027 dan perlawanan esok (hari ini) adalah sebahagian perjalanan kami untuk mencapai sasaran layak ke Piala Asia. Jadi, kami kena bersedia sepenuhnya untuk perlawanan menentang Laos,” katanya. – UTUSAN










