PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menanti penuh debar dokumen penuh keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menjadi penentu proses rayuan kepada badan induk bola sepak dunia itu selepas tempoh 10 hari berakhir.
Denda dan hukuman terhadap tujuh pemain warisan serta kesan jangka panjang bergantung penuh kepada dokumen berkenaan, termasuk proses rayuan seperti yang dimaklumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman.
Seperti yang dimaklumkan FIFA sebelum ini, masa 10 hari diberikan kepada FAM untuk membuat rayuan dan dijangka dokumen penuh itu akan diperolehi dalam masa terdekat bagi memboleh proses rayuan dilaksanakan.
Dalam masa yang sama, badan induk bola sepak negara juga sedang menunggu keputusan akhir Tribunal Bola Sepak di bawah jawatankuasa FIFA berhubung hukuman yang dikenakan ke atas FAM dan tujuh pemain warisan.
Ketika ini, pelbagai andaian dibuat berhubung nasib tujuh pemain warisan dan berdasarkan kes-kes terdahulu ada keputusan FIFA ditarik semula, hukuman diringankan selain ada pasukan dikenakan pemotongan mata.
Segala kemungkinan boleh berlaku dan ia bergantung kepada proses rayuan yang akan dilakukan nanti, namun jika Malaysia dipihak yang benar, maka kita akan dapat melihat tujuh pemain warisan beraksi berdepan Laos.
Harimau Malaya akan berdepan Laos pada 9 dan 14 Oktober ini dengan perlawanan pertama berlangsung di gelanggang lawan sebelum Malaysia menjadi tuan rumah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Oktober. – UTUSAN










