KUALA LUMPUR: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan beliau sama sekali tidak berniat untuk menyinggung atau tidak menghormati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kenyataannya selepas aksi menentang Laos di Vientiane, Khamis lalu.
Tindakan itu menyebabkan ramai pihak mempersoalkan tentang dirinya namun jurulatih kelahiran Australia itu, berkata kenyataannya itu hanyalah merujuk kepada apa yang diumumkan FAM mengenai isu dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikemukakan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Cklamovski menjelaskan kenyataannya itu bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya mahu menonjolkan pengaruh besar Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam membantu memperkukuhkan struktur dan memajukan bola sepak negara.
“Saya bukan bermaksud tidak menghormati FAM. Sebenarnya, saya tidak berkata apa-apa yang berbeza daripada apa yang mereka (FAM) nyatakan. Mereka mengeluarkan kenyataan media minggu lalu.
“Saya merujuk kepada (kenyataan) itu, jadi kenyataan saya bukan bertujuan untuk tidak menghormati FAM. Jika ada yang merasakan saya tidak menghormati FAM, saya mohon maaf.
“Apa yang saya ingin sampaikan sebenarnya adalah pengaruh besar TMJ (Tunku Mahkota Ismail) terhadap bola sepak Malaysia. Jika anda lihat pada bukti yang ada, lihat kemudahan yang beliau sediakan, tahap profesionalisme, struktur organisasi yang wujud di luar padang.
“Ia juga termasuk sokongan, hotel tempat kami menginap, padang latihan, semua perkara seperti ini pada tahap profesionalisme. Tanpa TMJ, di manakah bola sepak Malaysia sekarang? Itulah mesej saya, tiada kena mengena dengan tidak menghormati FAM,” kata Cklamovski.
Beliau berkata demikian pada sidang media praperlawanan bagi aksi keempat Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
FAM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen pemain warisan yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.
Dalam pada itu, Cklamovski berharap semua penyokong dapat hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memberi sokongan kepada pasukan negara pada aksi berdepan Laos bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027, malam ini.
Katanya, skuad kebangsaan bukanlah mengenai dirinya tetapi ini hak milik rakyat Malaysia dan para pemain sentiasa bekerja keras untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Saya tahu semua orang di Malaysia mengambil berat tentang pasukan kebangsaan. Benar, mengecewakan apa yang berlaku dalam beberapa minggu ini, terlalu banyak spekulasi.
“Apa yang kami lakukan hanya mahu membanggakan semua rakyat Malaysia. Pemain, barisan jurulatih dan pengurusan sentiasa bekerja keras ke arah itu.
“Saya harap, semua penyokong akan hadir ke stadium seperti mana perlawanan menentang Vietnam, lebih 60 ribu penyokong. Ia satu saat yang tidak akan dilupakan,” jelasnya. – UTUSAN










