Bonnie akui ancaman baharu semakin menggugat

Bonnie akui ancaman baharu semakin menggugat

Bonnie Bunyau Gustin berjaya mempertahankan pingat emas di Kejohanan Dunia Powerlifting 2025. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejayaan jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin merangkul kejuaraan dunia buat kali keempat berturut-turut membuktikan dia kekal konsisten dalam memburu kejayaan di pentas antarabangsa.

Namun, jurulatihnya, Jamil Adam menegaskan Bonnie tidak boleh leka dengan kejayaannya itu apabila pencabar dari China, Britain dan Kazakhstan telah menunjukkan peningkatan mendadak.

Katanya lagi, kejayaan Bonnie memenangi emas dalam kategori bawah 70 kilogram (kg) dengan angkatan 230kg sudah hampir dicabar terutamanya atlet dari China, Zhang Pingkang yang memenangi perak (222kg). Gangsa diraih Mark Swan (217kg) dari Britain.

“Atlet China dan Britain hampir melakukan angkatan 228kg namun percubaan mereka dibatalkan. Perlu diingatkan itu penampilan pertama atlet China (Zhang) di pentas dunia dan dia berkebolehan membuat angkatan 228kg dengan usianya masih muda, 20 tahun.

“Ini memberi gambaran jelas terhadap lawan Bonnie pada kejohanan yang akan datang bahawa dia sudah ada ramai pencabar apabila perbezaan jumlah angkatan semakin mengecil.

“Bonnie perlu mengekalkan prestasinya dan pada masa dia perlu menggandakan usahanya malah kena lebih berwaspada dengan lawannya selepas ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jamil turut berkata Bonnie cuba memecahkan rekod dunia miliknya 232kg yang dilakukannya di Sukan Paralimpik 2024 namun gagal.

“Bonnie ada melakukan percubaan untuk memecahkan rekod dunia dengan membuat angkatan 233kg tapi dibatalkan kerana kedudukan bebanan itu tidak lurus sepenuhnya,” katanya.

Bonnie turut memenangi kategori jumlah angkatan keseluruhan selepas mengangkat bebanan berjumlah 672kg meninggalkan Amir Jafari Arangeh dari Iran (581kg) dan Swan (427kg), sekali gus menghadiahkan dua pingat emas kepada negara.

Itu merupakan pingat emas keempat Bonnie dalam kejohanan dunia selepas kali pertama melakukanya pada 2019, 2021 dan 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN