SHAH ALAM: Seorang lelaki yang menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit (ADC) kepada Raja Muda Selangor hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini kerana menipu melibatkan urusan jual kenderaan lelong bernilai RM30,000 pada Mei lepas.
Al Zulfadly Alias, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.
Seorang lagi tertuduh, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, yang didakwa bersama-sama dengannya, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesalahan berkenaan.
Mereka didakwa bersubahat dengan seorang lelaki berusia 43 tahun untuk menipu seorang lelaki berusia 48 tahun dengan memperdayakannya supaya mempercayai bahawa mereka mempunyai keupayaan menguruskan pembelian sebuah kenderaan terpakai jenis Honda CRV, yang kononnya diperoleh menerusi lelongan sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada harga RM33,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di sini antara 13 dan 14 Mei lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 420 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Al Zulfadly diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Alia Zaheera Mohd Faizal, manakala Nur Syahirah diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari menawarkan jaminan RM40,000 masing-masing kepada kedua-dua tertuduh, namun Nur Alia Zaheera dan Shah Rizal memohon jumlah minimum bagi anak guam mereka.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dan sebutan semula kes bagi Al Zulfadly pada 20 November, manakala Nurul Nur Syahirah pada 19 Januari depan. – BERNAMA










