Apa faktor yang mempengaruhi Belanjawan 2026?

Apa faktor yang mempengaruhi Belanjawan 2026?

BELANJAWAN dipengaruhi bukan hanya hasil dan perbelanjaan tetapi juga oleh faktor geopolitik, harga komoditi, perdagangan dan rantaian bekalan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK sebenarnya perkara yang berlaku sepanjang tahun ini dan perkara-perkara ini sedikit sebanyak mempengaruhi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merangka Belanjawan 2026.

Sejak Disember tahun lalu, gaji penjawat awam mula diselaraskan dengan peruntukan sebanyak RM18 bilion, dengan fasa kedua akan dilaksanakan pada Januari 2026.

Ini diikuti dengan gaji minimum yang dinaikkan kepada RM1,700 sebulan mulai 1 Februari 2025. Pekerja tidak formal dan pekerja gig juga mula dilindungi di bawah skim caruman sukarela i-Saraan di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam tempoh yang sama, kira-kira 99.9 peratus daripada RM2.1 bilion dibelanjakan untuk Rapid Transit System Link (RTS Link) dan Penang LRT Mutiara Line.

Begitu juga beberapa projek utama di Sabah dan Sarawak iaitu Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan perbelanjaan sebanyak RM1.2 bilion, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (RM281.1 juta) dan Sarawak Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 (RM217.5 juta).

Beberapa projek bernilai RM14.4 bilion juga sedang dibangunkan menggunakan kaedah kerjasama awam-swasta (PPP). Projek tersebut termasuk pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 di Johor, West Ipoh Span Expressway (WISE) antara Gopeng dengan Kuala Kangsar di Perak dan West Coast Expressway (WCE) dari Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor.

Malah, dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, sebanyak RM37.5 bilion turut dibelanjakan bagi memastikan pembangunan lebih seimbang merentas semua negeri.

Projek tersebut terdiri daripada RTS Johor-Singapura, pembesaran Pelabuhan Klang dan pelebaran jalan Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang di Selangor, peluasan Taman Teknologi Tinggi Kulim di Kedah dan Loji Rawatan Air Machang di Kelantan serta kerjasama dalam projek tenaga boleh baharu termasuk Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir (HHFS) dan hab hidrogen hijau di Terengganu.

Di peringkat rantau Asia Tenggara, peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 tahun ini juga sedikit sebanyak mempengaruhi peruntukan belanjawan kerana ia boleh meningkatkan lagi hasil negara melalui pelaburan dan kerjasama dengan negara-negara jiran serta negara-negara maju.

Bagaimanapun, Anwar kehilangan ‘orang kuat’ dalam Kabinet pada Jun tahun ini apabila Datuk Seri Rafizi Ramli meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi susulan kekalahannya dalam pemilihan PKR.

Jawatan tersebut tidak diisi sehingga ke hari ini dan dipangku oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Sepanjang memegang jawatan Menteri Ekonomi, Rafizi terlibat secara langsung dalam pembikinan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

RMK13 yang meliputi perancangan lima tahun dari 2026 hingga 2030 diperuntukkan sebanyak RM430 bilion, dengan jumlah keseluruhan RM611 bilion termasuk pelaburan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan Kerjasama Awam-Swasta (PPP), yang diagihkan kepada sektor ekonomi (RM227 bilion), sosial (RM133 bilion), keselamatan (RM51 bilion) dan pentadbiran (RM17 bilion).

Pada Julai lalu, Bank Negara buat pertama kalinya dalam tempoh dua tahun menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) daripada 3 peratus kepada 2.75 peratus. Kadar 3 peratus sebelum ini dikekalkan selama dua tahun daripada Mei 2023 hingga Mei 2025.

Dalam bulan sama, pembaharuan tarif elektrik turut dilaksanakan dengan pengurangan sehingga 19 peratus dalam bil elektrik bagi semua pengguna.

Cukai barangan bernilai tinggi atau barangan mewah bagaimanapun tidak dilaksanakan walaupun diumumkan dalam belanjawan terdahulu. Sebaliknya, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diperluas dengan semakan semula bagi kadar cukai jualan dan perluasan skop bagi cukai perkhidmatan.

Namun, kesan yang dijangka paling besar dalam mempengaruhi ekonomi dan belanjawan akan datang adalah pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS) sebanyak 19 peratus yang berkuatkuasa sejak 1 Ogos lalu terutamanya dari segi eksport, hasil kutipan cukai, pelaburan asing, perniagaan dan kenaikan harga barang.

Di sebalik pelbagai perbelanjaan besar terhadap soal infrastruktur, pembangunan negeri, pengangkutan serta pelarasan cukai dan tarif elektrik, kerajaan turut mengeluarkan perbelanjaan yang banyak dari segi kos sara hidup dan pendapatan rakyat.

Ini melibatkan program bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peruntukan sebanyak RM13 bilion, dengan program STR melibatkan 9 juta penerima termasuk 5.4 juta yang turut menikmati faedah tambahan di bawah program SARA. Tambahan RM2 bilion diperuntukkan pada Julai 2025 untuk inisiatif penghargaan SARA RM100 sekali bayar melibatkan 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.

Begitu juga dengan penyasaran subsidi minyak. Kerajaan menanggung perbelanjaan subsidi diesel sebanyak 10 bilion setahun namun pelaksanaannya dijangka menjimatkan perbelanjaan antara RM7.2 bilion dan RM7.5 bilion setahun.

Terbaru, subsidi petrol RON95 diperkenalkan melalui Program Budi Madani (Budi95) melibatkan peruntukan sebanyak RM11 bilion untuk menampung harga subsidi sebanyak RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi RM2.60 seliter. Subsidi ini akan menjimatkan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.

Semua ini memberi gambaran banyak sebenarnya yang perlu dibelanjakan kerajaan sepanjang tahun ini namun banyak juga hasil pulangan kerajaan terutamanya menerusi langkah penyasaran subsidi.

Tahun hadapan, hasil kerajaan dijangka terus meningkat menerusi hasil cukai seperti SST, pelaburan, lesen, permit, levi pekerja asing, cukai pendapatan individu, hartanah, duti eksais, sumbangan dari Khazanah, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) serta perbelanjaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 walaupun hasil dari bayaran dividen Petronas menjadi lebih rendah ekoran usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada hasil berasaskan komoditi berikutan ketidaktentuan harga.

Namun, apa yang mempengaruhi belanjawan bukan sekadar jumlah kutipan hasil cukai, pelaburan atau apa yang telah diperuntukkan dan dibelanjakan semata-mata tetapi ia juga melibatkan faktor geopolitik, ketidakstabilan harga komoditi, perdagangan dan rantaian bekalan.

Apa yang jelas, belanjawan tidak boleh lagi hanya menumpukan kepada sekadar peruntukan tahunan yang memberikan kesan jangka pendek sahaja tetapi ia juga perlu memberi kesan jangka sederhana dan panjang yang boleh dirasai serta dinikmati rakyat, bukan sahaja sekarang tetapi juga di masa akan datang.-UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×