Akan ada perubahan skuad...

Akan ada perubahan skuad…

SKUAD Harimau Malaya menjalani latihan kelmarin menjelang perlawanan timbal balik menentang Laos dalam kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok. - IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski menyifatkan pasukan bimbingannya ketika ini berada dalam ‘mood’ terbaik menjelang aksi keempat Kumpulan G menentang Laos dalam Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), esok.

Katanya, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan cara pemain-pemainnya menguasai permainan ketika menentang lawan sama di Vientiane Khamis lalu yang membolehkan pasukan negara menang 3-0.

Namun begitu, sentuhan penyudah masih perlu dipertajamkan berikutan deretan peluang yang dicipta di Vientiane, gagal disudahkan dalam bentuk jaringan dan beliau berharap anak buahnya akan menunjukkan peningkatan untuk aksi kedua berdepan lawan sama.

Pengendali kelahiran Australia itu menegaskan, masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki bagi memastikan Harimau Malaya tampil lebih mantap menentang Laos nanti.

“Mereka mengawal permainan dengan baik. Kami menemui ruang yang baik dan sebenarnya boleh menjaringkan lebih banyak gol. Jadi, ia sesuatu yang positif dari segi itu.

“Kami akan menganalisis perlawanan sebelum ini dan mengenal pasti perkara yang perlu ditingkatkan,”katanya.

Malaysia kini berada di landasan terbaik dalam misi penting untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri bagi mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan, selain membuka peluang cerah ke Piala Asia di Arab Saudi 2027.

Hasil tiga kemenangan, skuad negara kini mengumpul sembilan mata maksimum daripada tiga aksi dilalui manakala Vietnam mengekori rapat di belakang dengan enam mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN