KOTA BHARU: Selangor mara ke pentas final acara bola sepak Majlis Sukan-Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Bawah 18 selepas mengatasi Johor Darul Takzim IV (JDT) 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti di sini hari ini.
Tonggak pertahanan, Jermain Sow muncul wira Selangor apabila menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk membawa The Red Giants ke pentas final selepas keputusan sebenar perlawanan terikat 1-1.
JDT mendahului perlawanan seawal minit ke-15 melalui jaringan Muhammad Rizzqin Uqail Mohd. Sani, namun perlawanan tercemar dengan insiden kekecohan menyebabkan pemain JDT Jeremy Datoon dan pemain Selangor, Harith Haikal Qays dilayangkan kad merah pada minit ke-17.
Bersambung babak kedua, Selangor kembali mengikat kedudukan menjadi 1-1 sama apabila Muhammad hadif Muhammad Nor Helmie menjaringkan gol pada minit ke-68 dan kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan.

Pada aksi final itu nanti, Selangor berdepan dengan Terengganu yang mara ke babak final selepas menyingkirkan Kedah 2-0 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi separuh akhir.
Sementara itu, jurulatih Selangor Mat Dinos Talib yang mengakui kemenangan melalui penetuan sepakan penalti tersebut cukup mendebarkan.
“Tipu kalau kata tidak mendebarkan tetapi ia akan menjadi satu pengalaman manis yang tidak akan saya lupakan buat selama-lamanya. Tahun ini kami telah mencuba sehabis baik dan berjaya mengubati kekecewaan lalu untuk melangkah ke pentas final,” katanya.
Ketua Jurulatih JDT IV, Pau Valldecabres pula menerima keputusan dengan hati terbuka dan menganggap barisan pemainnya telah memberikan yang terbaik di sebalik kekecewaan akibat tewas dalam penentuan sepakan penalti. – UTUSAN










