PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) terpaksa melupakan khidmat Faisal Halim dalam tempoh hampir sebulan bagi memberi masa mencukupi untuk dia pulih sepenuhnya daripada kecederaan otot.
Perkembangan itu, menyaksikan Faisal yang lebih mesra disapa Mickey, bakal terlepas aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Kuching City di Stadium Taha Ariffin, Kuching, Ahad ini.
Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan Gon mengesahkan pemain itu belum bersedia untuk kembali beraksi meskipun menunjukkan perkembangan positif sepanjang menjalani proses pemulihan.
“Tidak (Mickey tidak akan beraksi untuk separuh akhir kedua Piala FA). Mickey menunjukkan perkembangan yang baik dan saya gembira melihatnya.
“Bagaimanapun, saya fikir dia masih memerlukan sedikit masa lagi. Bukan dalam tempoh ini, mungkin dalam beberapa minggu lagi. Saya menjangkakan dalam tempoh beberapa minggu akan datang dia boleh kembali.
“Dia sudah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan pasukan perubatan kami juga banyak membantu. Jadi, harap kita dapat melihatnya kembali beraksi dalam beberapa perlawanan akan datang,” katanya kepada media.
Faisal mengalami kecederaan ketika menyarung jersi Harimau Malaya dalam kempen Piala ASEAN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), September lalu, sekali gus memaksanya berehat lebih lama.
Kecederaan berkenaan turut menjejaskan perancangan skuad kebangsaan apabila Faisal dijangka terlepas dua aksi persahabatan antarabangsa menentang China pada 14 November dan Yaman pada 17 November ini di Stadium Zhaoqing New District Sports Center, Guangdong, China. – UTUSAN











