NAMA DR. HAIM HILMAN ABDULLAH agak baharu dalam arena politik tanah air, namun pencapaiannya sejak menceburi dunia pentadbiran dan akademik membuktikan beliau bukan calang-calang tokoh.
Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kini Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah itu, baru-baru ini mengejutkan banyak pihak apabila meraih undi ketiga tertinggi dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat 2025-2027 sekali gus meletakkan beliau antara pemimpin baharu yang diberi kepercayaan besar oleh perwakilan.
Ketika perbahasan Muktamar Tahunan Pas ke-71 minggu lalu, Haim Hilman memukau perwakilan dengan pidatonya yang bertenaga dan berisi.
Ikuti temubual eksklusif wartawan Utusan Malaysia, MUHAMAD AIMY AHMAD bersama beliau yang mengupas banyak topik terutama bidang pendidikan tinggi yang sangat dekat dengannya, selain calon perdana menteri parti Islam berusia 74 tahun itu.
UNDI KETIGA TERTINGGI
SAYA pun tidak sangka sebab sangat baru dalam politik. Saya lebih lama dalam sektor pendidikan di universiti iaitu selama 23 tahun dan hanya sertai politik pada 2022.
Memang saya sendiri tidak sangka dengan kemenangan ini, jutaan terima kasih kepada pimpinan tertinggi Pas dan para perwakilan yang bagi kepercayaan untuk bersama kepimpinan tertinggi parti selaku AJK. Juga kepada warga Jitra kerana beri peluang mewakili mereka.
Saya bersedia memberikan diri saya jika diperlukan dan saya sedia menjadi ‘hamba’ kepada rakyat Malaysia dalam konteks apa yang saya boleh sumbangkan kepada agama, bangsa dan negara yang tidak tertumpu kepada orang Melayu sahaja.
TARIKAN KEPADA PERWAKILAN
Mungkin latar belakang saya yang selama ini dipotretkan sebagai anak kampung, kemudian dalam dunia pendidikan orang kenal daripada ucapan-ucapan motivasi semasa menjadi Naib Canselor. Saya konsisten untuk terus perjuangkan keadilan dalam sudut pendidikan agar dapat ubah nasib anak bangsa tidak kira apa kaum kerana paling penting adalah pendidikan.
Selain itu saya bukanlah seorang yang bersifat ‘pembunuhan karakter’ kepada mana-mana ahli politik. Cuma saya selalu bawa mesej melalui isu dibangkitkan, contohnya dalam isu saluran terbuka ke universiti yang sekarang ini orang sudah mula faham, lambakan pelajar asing dan mereka kemudian dibenar bekerja di negara ini sedangkan graduan kita pun ramai. Jadi, saya berjuang demi hak rakyat Malaysia.
Faktor lain mungkin juga saya bukanlah kelompok ulama tetapi saya memandang tinggi golongan agamawan ini dan saya percaya dengan adanya kombinasi antara golongan profesional dan ulama dalam Pas, kita boleh tawarkan sesuatu yang baik kepada rakyat Malaysia.
MANFAATKAN PENGALAMAN AKADEMIK DAN PENTADBIRAN
Kalau ikut kepakaran saya adalah bidang Pengurusan Strategik dan kebanyakan masa terlibat dalam transformasi UUM. Semasa di sana, saya pernah memegang jawatan Pengarah Strategik Universiti, kemudian Timbalan Naib Canselor sehinggalah Naib Canselor.
Dalam Kerajaan Kedah saya dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi. Jadi pengalaman dalam dunia pendidikan selama 23 tahun dan sepanjang tiga tahun dalam pentadbiran negeri saya yakin dapat bantu Pas perkemas gerak kerja dalam sudut pendekatan strategik.
Apa juga yang ditawarkan oleh parti saya ikut sahaja, tetapi katalah Pas memerlukan saya terlibat dalam pendekatan yang strategik untuk pentadbiran, hala tuju parti atau kaedah untuk mendekatkan Pas kepada rakyat Malaysia berbilang kaum ini saya boleh bersama dengan kepimpinan untuk menggembleng formula terbaik.
Hal ini agar kita dapat memberi tawaran bahawa Pas berada dalam kedudukan terbaik untuk menawarkan diri dan membina satu harapan baru buat rakyat Malaysia dengan membina negara lebih baik daripada yang ada pada hari ini.
NILAI KEPIMPINAN DARIPADA DUNIA AKADEMIK KE POLITIK
Apa yang saya pegang adalah letak agama sebagai panduan, pertamanya saya cuba bawa naratif politik ataupun prinsip politik yang bersih. Maksudnya tidak terpalit dengan isu-isu yang gusarkan rakyat, rakyat ini mudah sahaja mereka nak pemimpin yang bersih. Alhamdulillah saya jaga diri dalam soal itu dan harap sahabat dalam kepimpinan Pas juga tiada liabiliti, tiada kes mahkamah termasuk guna kedudukan untuk singkirkan kes.
Kemudian orang tengok juga kekayaan luar biasa. Kita tidak ada seperti itu kerana macam mana sebelum masuk politik begitulah selepas itu, malahan duit habis sebab Pas bukan parti kaya. Saya memegang prinsip bersih daripada setiap sudut, baik dilihat daripada sudut orang Melayu, Cina atau India kerana saya mahu siapa juga melihat Haim Hilman ini tiada apa-apa yang perlu dikhuatirkan.
Kedua saya pegang prinsip integriti, berbeza dengan bersih kerana itu persepsi orang tetapi integriti berkaitan dalaman saya. Maksudnya apa jua situasi saya akan pastikan melakukan benda yang betul, maka tidaklah saya ketepikan prinsip ini kalau ada kepentingan. Saya tidak mahu ada kepentingan yang boleh ubah-ubah prinsip itu kerana ia salah, pemimpin kena letak kepentingan rakyat dahulu.
Ketiga saya mendukung prinsip cekap yang mana bila kita memimpin kena nampak kita berusaha atau berkemampuan untuk laksana tugas dengan cekap, sebab rakyat tidak mahu kita lambat bertindak sehingga jadi krisis.
Contoh tragedi MH370 dan MH17, kerajaan masa itu urus krisis dengan baik setiap hari ada kenyataan media jadi rakyat dikemaskini setiap masa, inilah yang dipanggil pengurusan krisis. Tetapi bila kita tengok kes Zara Qairina akhirnya menjadi polemik sehingga ribuan rakyat turun ke jalanan kerana tak puas hati. Jadi kita kena cekap dalam menguruskan apa juga isu termasuk dalam pentadbiran.
Selepas itu adalah amanah, bukan satu kelebihan saya jadi exco, AJK Pas Pusat atau wakil rakyat. Amanah ini ditanya oleh Allah di padang mahsyar. Terakhir sekali adalah keadilan, waima ke atas musuh yang paling tegar pun kita harus adil kepada dia dalam tindakan kita. Apatah lagi kepada rakyat, contohnya dalam pendidikan kerana untuk mendapatkan kehidupan terbaik tidak kira bangsa, agama kita kena adil menyantuni semua. Miskin tidak ada beza orang Melayu, Cina atau India sama sahaja peritnya. Jadi sebagai pemimpin harus santuni rakyat agar semua dapat hidup dengan baik.
DASAR EKONOMI UNTUK PAS
Sekiranya diberi peluang memimpin negara, kita akan bangunkan dasar ekonomi yang inklusif merangkumi semua kaum dan komprehensif untuk dalam negara sehinggalah ke luar negara.
Kita tidak lagi fokus kepada segelintir kumpulan yang dapat habuan. Minta maaf saya nak sebut dulu ketika UMNO memerintah Dasar Ekonomi Baru (DEB) memang baik cuma masalahnya kekayaan hanya tertumpu kepada segelintir orang Melayu yang dekat dengan parti itu. Kita sudah lalui satu fasa dalam pembangunan bangsa, selalu kalau orang cakap tentang ekonomi mereka bandingkan ekonomi orang Melayu dan Cina jadi kita macam tertinggal.
Kita akan membesarkan kek ekonomi itu agar tidak mengambil hak orang lain. Kita tidak mahu sahabat-sahabat Cina rasa hak mereka dinafikan. Mereka boleh terus berniaga tetapi pada masa sama memperkemaskan rantaian dengan menempatkan orang-orang Melayu dalam segmen tertentu. Kita bina ekosistem ekonomi yang telus di mana setiap orang boleh rasa dia berada dalam sistem yang adil, bukan dia kenal orang boleh dapat projek, kita akan hapuskan pendekatan ini.
Kalau yang lemah kita akan bantu melalui tindakan afirmatif dan yang sudah kuat perlu ada elemen macam mana dia boleh membantu yang lemah untuk diangkat bersama. Jadi akhirnya kita bina negara dan bukannya bina sesuatu bangsa sahaja.
PENDIDIKAN LALUAN KEPADA EKONOMI LEBIH BAIK
Untuk bina negara semua rakyat Malaysia perlu merasakan dia berada di padang yang sama untuk bina masa depannya. Kita nak usahakan dalam konteks dalaman negara termasuklah pendidikan. Contoh baru-baru ini saya bukan nak serang Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tetapi saya lama dalam industri dan tahu tentang saluran terbuka.
Saya bangkitkan isu pengambilan pelajar Universiti Malaya (UM) melalui UPU online, beribu rakyat ingin masuk UM, budak-budak memang nak pergi universiti hebat sebab rata-rata kita belajar ijazah sarjana muda sekali sahaja seumur hidup, kita ingin ada sejarah sendiri di mana institusi kita belajar. Masalahnya mengapa pengambilan untuk kursus perakaunan 85 orang sahaja, ini satu yang menyedihkan.
Dalam bidang kejuruteraan pula, antara sektor yang betul-betul kuat di negara kita adalah elektrikal dan elektronik (E&E) yang cabangnya semikonduktor, malangnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dibangunkan untuk anak bangsa tawarkan 90 daripada 200 tempat kepada pelajar China. Saya bukan anti China tetapi masalahnya 45 peratus tempat kita diambil mereka sebab kursus itu ada prospek sangat tinggi.
Jadi untuk bangunkan ekonomi negara, perkara pokoknya mesti kembali kepada pendidikan, dengan pendidikan yang bagus kita boleh kerja dalam industri yang akhirnya mampu bangunkan negara. Dalam konteks pelaburan pula kita sangat perlukan kestabilan politik. Jadi dengan adanya golongan umara dan ulama dalam Pas ini, saya percaya gabungan yang baik untuk semak dan imbang sebagai sebuah negara yang progresif, dinamik.
Pada masa sama kita memastikan landasan panduannya adalah agama. Kalau orang bukan Islam boleh lihat dari sudut nilai sejagat, ia satu kelebihan agama kita tidak perlu bimbang nilai-nilai Islam bercanggah dengan nilai-nilai sejagat. Percayalah tidak bercanggah langsung selagi nilai sejagat itu mengikut fitrah alam. Satu kekuatan Pas atau PN ini sikap profesional yang berpandukan al-Quran.
PERDANA MENTERI PAS
Pas ini parti tarbiah, dakwah dan siasah. Satu perkara yang saya nampak antara parti yang tua di Malaysia dan kita telah lalu fasa pengalaman dalam politik yang cukup lama. Kita tempuh banyak pengalaman politik yang luar biasa. Memang kita bukan parti yang lahir di istana macam UMNO, sebaliknya datang daripada rakyat miskin, pesawah, nelayan, penoreh getah dan betul lah orang kata kita parti pak lebai, parti kampung.
Tetapi daripada keluarga-keluarga orang miskin inilah lahirnya profesional seperti doktor, jurutera, peguam, arkitek, profesor jadi Pas mempunyai satu kumpulan atau blok profesional yang cukup besar dan mendukung prinsip-prinsip Islam yang sangat kuat dan berteraskan nilai sejagat yang diterima semua lapisan masyarakat.
Dengan adanya kumpulan profesional dan ulama yang bergabung secara jitu dalam Pas, telah tiba masa untuk Pas diberi ruang memimpin PN, sebelum melangkah lebih jauh ke Putrajaya. Kalau sebelum ini orang tanya mengapa tidak ke depan, ini kerana kepimpinan melihat sesuatu keadaan itu pada masanya, dahulu kita parti kecil sahaja tetapi hari ini kita adalah blok terbesar ahli Parlimen dan menguasai empat negeri. Beberapa negeri yang dikuasai lawan pun kita pembangkang yang kuat jadi pengalaman telah mematangkan dan membolehkan kita untuk menawarkan diri memimpin Malaysia.
KELEBIHAN PERDANA MENTERI PAS
Pas hari ini adalah parti yang tiada liabiliti, tiada kes mahkamah, sakau duit atau projek-projek kroni dan sebagainya. Pas bukannya parti kaya, kita tiada taikun-taikun di belakang, tiada tauke-tauke besar. Jadi Pas boleh tawarkan sebuah kerajaan yang bersih kerana tidak terikat dengan syarikat-syarikat besar yang hanya menjadikan kita boneka.
Pas boleh mencorak hala tuju negara dengan yakin, negara kita kaya dengan hasil bumi yang bermacam ada minyak, gas, nadir bumi dan kalau pertanian apa pun boleh maju. Jadi kita boleh nampak banyak yang boleh dibangunkan dengan mencari kekayaan baharu bagi menambah hasil negara dan seterusnya memakmurkan negara dengan pemerintahan yang adil.
Pas mempunyai kekuatan dan formula untuk memimpin negara dan sekiranya diberi peluang saya yakin kita boleh pimpin dengan baik. Namun apa pun ini pandangan saya kerana satu prinsip Pas adalah kita guna konsep musyawarah, jadi sebagai AJK Pas saya serahkan kepada kebijaksanaan pemimpin untuk gerak langkah selanjutnya dalam penawaran Pas memimpin negara.
PEMIMPIN BERJIWA RAKYAT
Sudah tiba masanya negara beri ruang kepada anak-anak petani, nelayan, pesawah yang mungkin kalau dilihat dari latar belakang keluarganya tiada apa boleh dibanggakan tetapi daripada keluarga seperti itu lahirlah profesional-profesional yang punya jiwa dan kesungguhan untuk memajukan negara.
Kita boleh ambil contoh, dulu UMNO dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman, anak raja dan selepas itu Tun Razak Hussein dan Tun Hussein Onn dikira golongan bangsawan tetapi Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya anak seorang guru yang latar belakangnya cukup sederhana tetapi menjadi pemimpin hebat.
Negara beri beliau peluang dan beliau buktikan berjaya memajukan Malaysia, ubah daripada sebuah negara miskin kepada negara yang sedang menuju ke arah negara maju. Inilah buktinya latar belakang kemiskinan seorang anak itu tidak penting, yang penting di mana dia hari ini dan apa penambahbaikan yang dibuat.
Kalau boleh majukan diri daripada anak penoreh getah kepada profesor, dia ada segala ciri untuk jadi pemimpin yang hebat sebab daripada tiada apa boleh jadi seorang yang berjaya.
Kalau memiliki kekuatan karakter, mental dan kebijaksanaan untuk pimpin negara dan tiada liabiliti atau isu rasuah terpalit denganya selain berwawasan dan berpendidikan, maka inilah sebenarnya calon-calon perdana menteri yang Malaysia perlukan untuk bawa negara ke peringkat seterusnya.-UTUSAN










