Pas bukan lagi sandaran, kini idam kerusi perdana menteri

Pas bukan lagi sandaran, kini idam kerusi perdana menteri

KE arah menawan Putrajaya, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu kembali mengukuhkan kembali gabungan dalam Perikatan Nasional (PN).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAS yang ditubuhkan sejak 1951, kini berusia 74 tahun, antara parti politik yang mempunyai sejarah cukup panjang di negara ini.

Kekuatan dan pengaruh Pas sebelum ini, hanya tertumpu di kawasan Pantai Timur khususnya Kelantan. Penyokong serta ahlinya hanya berakar umbi dalam kalangan orang-orang kampung atau penduduk luar bandar.

Perjalanan bukannya mudah, perjuangan mereka termasuk bertanding dalam pilihan raya sebelum ini, banyak bergantung daripada derma daripada ahli parti, namun Pas terus kekal bertahan dalam arus politik negara.

Akar umbi cukup setia, sanggup berkorban apa saja demi parti Islam tersebut.

Hasil didikan Pas itu, ahli atau jenteranya sentiasa bersedia melakukan kerja secara sukarela setiap kali pilihan raya tanpa perlu mengharapkan dana yang tinggi. Dari pasang bendera, hidupkan markas, semua percuma.

Kekuatan akar umbi itu wajar menjadi contoh kepada parti-parti politik lain jika ingin melihat parti terus stabil dan kuat tanpa terlalu mengharapkan imbuhan semata-mata.

Pas kini bukan lagi ‘parti pak lebai’ atau ‘parti kampung’ sebaliknya menjadi parti politik arus perdana.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), menyaksikan Pas menjadi parti terkuat di Dewan Rakyat menguasai 43 kerusi iaitu jumlah tertinggi. Di peringkat negeri, Pas di dalam Perikatan Nasional (PN) menguasai Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Keempat-empat negeri tersebut, Menteri Besarnya adalah dari Pas.

Menjelang PRU16, sasaran Pas bukan sekadar hanya menjadi ‘king maker’ semata-mata, sebaliknya bersedia untuk menawan Putrajaya seterusnya mengenengahkan calon perdana menteri dari parti itu.

Pas mempunyai ramai pemimpin untuk diketengahkan, tidak perlu lagi ‘menolak’ calon lain daripada rakan sekutu untuk menjadi perdana menteri. Pemimpin dari UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR semua sudah menjadi perdana menteri. Hanya Pas masih belum.

Sejak daripada dahulu, Pas sering kali dilihat sekadar menjadi ‘dahan tempat bergantung’ iaitu sebagai sandaran atau tempat berpaut parti lain bagi menumpang kekuatan dan kelebihan Pas. Pada 1990, Pas membantu Semangat 46 (S46) dalam gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang berjaya mencapai kemenangan besar di Kelantan.

Semasa gelombang reformasi ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan UMNO pada 1998, Pas sekali lagi menjadi sandaran atau tempat berpaut parti lain yang terbentuk kerjasama dengan PKR dan DAP. Gabungan Barisan Alternatif itu berjaya menawan Terengganu dan mengekalkan Kelantan melalui Pas manakala PKR dan DAP pula berjaya menambah kerusi Parlimen dalam PRU 1999 itu.

Kelebihan Pas yang mempunyai kekuatan akar umbi dan pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu sekali lagi menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP melalui gabungan Pakatan Rakyat (PR). Gabungan berkenaan berjaya memenangi 82 kerusi Parlimen sekali gus menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah pada PRU 2008.

Pada PRU13, PR terus cemerlang memperoleh 89 kerusi Parlimen dengan undi popular 50.9 peratus.

Kerjasama Pas dengan Bersatu dalam PRU15 pula menyaksikan gabungan itu menang 74 kerusi.

Dalam Muktamar Pas di Kedah baru-baru ini seakan-akan memberi isyarat jelas sasaran parti itu kini ke arah menawan Putrajaya.

Pemimpin serta perwakilan terus meniup semangat menuju PRU16. Malah, suara akar umbi juga mahu Pas memimpin atau mengetuai PN berdepan pilihan raya tersebut. Usul Pas mengetuai PN diluluskan dalam muktamar itu.

“Pas sudah bersedia memimpin Malaysia dengan keutamaan kita adalah bagi memastikan Pas dan PN menang PRU16 terlebih dahulu.

“Kita akan menjadi kerajaan dengan berpegang kepada keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan berasaskan pentafsiran Islam yang sebenar. Pas juga sama sekali tidak akan meminggirkan hak dan kepentingan kaum lain selaras dengan konsep masyarakat majmuk,” kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan amanat bersempena Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di Kedah baru-baru ini.

Pas juga sedia mengenengahkan calon perdana menteri dari parti itu yang bakal dipilih mengikut panduan ditetapkan parti Islam itu iaitu mestilah berilmu, integriti dan sihat tubuh badan.

Gelombang hijau dalam PRU15 dijangka berterusan dalam PRU16. Kini, selain sokongan orang Melayu, anak muda juga memihak kepada Pas.

Pengundi Melayu luar bandar pula hampir ‘solid’ menyokong dan Pas juga boleh fokus menarik minat pengundi Melayu bandar bagi menambahkan lagi pengaruh parti itu.

Selain yakin mengekalkan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis, Pas juga menjadikan Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Selangor sebagai sasaran seterusnya dalam PRU16.

 

DOMINASI GOLONGAN BERPENDIDIKAN

Misi Pas menawan Putrajaya dalam PRU16 bukan lagi sekadar angan-angan. Jika dilihat daripada barisan ahli jawatankuasa (AJK) Pas Pusat baharu yang dipilih dalam pemilihan parti itu, didominasi golongan profesional berpendidikan tinggi yang mencerminkan pasukan transisi masa hadapan ke arah memerintah Malaysia.

Manakala lima jawatan tertinggi tidak ditandingi adalah bagi memberi keseimbangan dan kestabilan parti ke arah mendepani PRU16.

Kebanyakkan AJK Pas yang dipilih itu dalam kalangan yang mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) menandakan golongan profesional dan ‘cerdik pandai’ dalam Pas ini semakin ramai.

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah antaranya menduduki kedudukan ketiga dalam pemilihan AJK Pas Pusat itu meskipun masih baru selain Nik Abduh Nik Abdul Aziz kembali dipilih berada dalam barisan kepemimpinan.

Barisan kepemimpinan baharu itu juga memberi keyakinan dan bakal menarik sokongan orang Melayu bandar dan bukan Islam kepada Pas.

Ke arah menawan Putrajaya, Pas dan Bersatu perlu kembali mengukuhkan gabungan dengan mengelak daripada serangan dan ungkit-mengungkit sesama sendiri yang boleh melemahkan kerjasama tersebut.

“Pas dan Bersatu perlu kembali mencari titik persamaan serta mengelak daripada terus berbalas serangan yang dikhuatiri boleh memecah-belahkan gabungan tersebut.

“Kedua-dua parti itu perlu segera memulihkan hubungan memandangkan gabungan tersebut juga mempunyai peluang menang dalam PRU16 sekali gus memerintah Malaysia,” kata pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhammad Izmer Yusof.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×