PETALING JAYA: Malaysia kini sah bergelar kuasa baharu renang sirip dunia selepas menamatkan kempen Piala Dunia Finswimming CMAS 2025 di Kaohsiung, Taiwan dengan pencapaian podium secara keseluruhan.
Skuad negara membawa pulang dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa untuk menamatkan cabaran di tangga ketiga, sekali gus mencipta detik bersejarah dalam peta akuatik antarabangsa.
Atlet sensasi negara, Regina Cheong Xuan Yun menjadi bintang utama kontinjen apabila merangkul dua emas dalam acara 100 meter (m) dan 200m immersion wanita yang meletakkan namanya setanding perenang elit dunia.
Pengurus pasukan, Mohd. Shafie Zainuddin menyifatkan pencapaian ini sebagai mercu tanda baharu buat renang sirip Malaysia yang semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian kontinjen ini kerana buat pertama kali Malaysia menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan.
“Dengan 32 atlet dan enam pegawai menentang 12 negara, kejayaan ini menjadi titik sejarah yang lahir daripada sokongan KBS, MSN dan Persatuan Renang Sirip Malaysia (MLFA),” kata Shafie.
Selain Regina, Louis Chin Teng Aun menyumbang perak dan gangsa dalam acara immersion lelaki, manakala Rayyan Haaziq Nasrul Hafiz turut menyumbang gangsa 50m bifin.
Aksi menutup gemilang dilengkapkan kuartet wanita negara Valery Thye, Alisha Irdina, Abigail Lim dan Jun Hsuen apabila meraih gangsa 4x100m surface relay.
Dalam pada itu, Shafie menegaskan kejayaan di Taiwan adalah batu loncatan terbaik menjelang Kejohanan Dunia Renang Sirip CMAS di Korea tahun depan yang kini menjadi sasaran baharu skuad negara.
“Kami berharap kejayaan ini akan memberi inspirasi kepada atlet untuk terus bersedia ke Kejohanan Dunia di Korea tahun depan serta menggalakkan lebih ramai anak muda Malaysia menceburi renang sirip, sekali gus mengangkatnya ke tahap lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










