Kos hidup ‘laju’, gaji ‘perlahan’, rakyat tunggu jawapan Belanjawan 2026

Kos hidup ‘laju’, gaji ‘perlahan’, rakyat tunggu jawapan Belanjawan 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOS hidup yang meningkat lebih pantas daripada gaji pekerja kini menjadi keluhan harian rakyat Malaysia.

Sama ada di kedai kopi, pejabat atau media sosial, rungutan sama kedengaran, harga barang naik tetapi pendapatan tidak seiring.

Realiti ini bukan sekadar keluhan tetapi cabaran besar yang sedang menguji daya tahan ekonomi negara.

Dengan pembentangan Belanjawan 2026 yang semakin hampir, rakyat menaruh harapan besar kerajaan tampil dengan pelan menyeluruh untuk menangani masalah struktural ini.

Fenomena jurang antara pertumbuhan ekonomi dan pendapatan rakyat bukan unik kepada Malaysia. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan sejak 1995 hingga 2015, bahagian upah dalam pendapatan negara merosot di banyak negara.

Globalisasi, automasi dan perubahan pasaran buruh menjadikan majikan lebih dominan, manakala pekerja kehilangan kuasa tawar-menawar.

Namun, ada negara yang berjaya melawan arus. Jerman dan Denmark, misalnya, mengekalkan sistem perundingan kolektif kukuh serta melaksanakan pembangunan kemahiran agresif, membolehkan pekerja menikmati bahagian adil daripada pertumbuhan.

Malaysia berdepan paradoks. Inflasi rasmi rendah, 1.2 peratus tetapi kos perumahan, pendidikan, kesihatan dan makanan semakin menekan.

Bahagian upah dalam Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) hanya 32 peratus. Ia jauh daripada standard ekonomi maju sekitar 50 hingga 60 peratus.

Lebih 70 peratus graduan baharu menerima gaji bawah RM2,000 sebulan, sedangkan rakan sejawat mereka di Singapura menikmati gaji permulaan antara RM14,800 hingga 15,400. Jurang besar ini menjadi punca utama penghijrahan bakat, dengan 1.86 juta rakyat berhijrah mencari peluang lebih baik.

Masalah ini berpunca daripada sejarah pembangunan negara. Sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB), ekonomi bergantung pada pelaburan asing dan buruh kos rendah. Strategi ini berjaya mengurangkan kemiskinan tetapi gagal membina asas kenaikan gaji.

Era liberalisasi 1980-an pula menjadikan kos buruh rendah daya tarikan utama pelabur. Wawasan 2020 menetapkan aspirasi negara maju tetapi Malaysia masih terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana.

Kesan paling ketara ialah kelas pertengahan yang semakin ‘terhimpit’. Mereka memiliki pekerjaan, rumah sederhana dan kereta biasa tetapi kedudukan kewangan rapuh.

Gaji minimum RM1,700 memberi manfaat kepada 25 peratus tenaga kerja, namun majoriti yang memperoleh sedikit lebih tinggi masih berdepan stagnasi pendapatan.

Tanpa lonjakan gaji bermakna, kelas pertengahan semakin tersepit, tidak layak menerima bantuan tetapi tidak cukup selesa untuk hidup tenang.

Kuasa tawar-menawar pekerja turut merosot. Kadar penyertaan kesatuan pekerja menurun daripada 4.4 peratus pada 2010 kepada 2.5 peratus pada 2022. Graduan pula mendapati premium gaji semakin kecil, menjadikan pendidikan tinggi kurang efektif sebagai alat mobiliti sosial.

Akibatnya, masalah gaji perlahan memberi implikasi sosial serius. Ramai anak muda menangguhkan perkahwinan kerana kos tinggi, kadar kelahiran menurun, manakala hutang isi rumah melebihi 80 peratus daripada KDNK. Semua ini berisiko menjadikan Malaysia masyarakat menua sebelum sempat mencapai status negara maju.

Di rantau ini, kedudukan Malaysia semakin tercabar. Vietnam muncul sebagai destinasi utama pelaburan global dengan tenaga kerja murah tetapi berkemahiran.

Indonesia memacu pertumbuhan digital dengan pasaran besar. Thailand membina kelebihan dalam automotif elektrik dan Filipina muncul sebagai hab perkhidmatan global.

Malaysia berisiko kehilangan daya saing jika terus bergantung kepada strategi lama tanpa fokus kepada gaji dan inovasi.

Kerajaan mula melaksanakan beberapa langkah. Dasar Upah Progresif diperkenalkan bagi memberi insentif kepada syarikat menaikkan gaji. Kerangka Ekonomi Madani pula menetapkan sasaran meningkatkan bahagian upah kepada 45 peratus KDNK menjelang 2035, serta gaji median bulanan RM2,700 menjelang 2025.

Hala tuju ini tepat, namun rakyat menuntut pelaksanaan berkesan bukan sekadar angka di atas kertas.

Reformasi struktur sangat diperlukan. Gaji perlu dikaitkan secara langsung dengan produktiviti sebenar. Keuntungan syarikat tidak boleh hanya dinikmati pemegang saham tanpa dikongsi dengan tenaga kerja. Pada masa sama, pekerja mesti diperkasakan dengan mekanisme perundingan baharu menggantikan kelemahan kesatuan tradisional.

Malaysia juga perlu menumpukan kepada industri bernilai tinggi seperti teknologi digital, tenaga boleh baharu dan bioteknologi. Sistem pendidikan mesti direformasi agar graduan benar-benar seiring dengan keperluan pasaran kerja baharu.

Belanjawan 2026 tidak boleh dianggap sekadar dokumen perbelanjaan tahunan. Ia mesti menjadi titik perubahan struktur. Jika hanya pelarasan kecil dibuat, Malaysia akan terus terperangkap dalam ekonomi upah rendah. Namun, jika kerajaan berani menjadikan isu gaji agenda utama, Malaysia boleh membina ekonomi inklusif yang lebih seimbang dan mampan.

Malaysia kini berada di persimpangan penting sama ada mengekalkan status quo yang menekan rakyat atau beralih kepada model ekonomi baharu yang lebih adil.

Rakyat tidak lagi mahu mendengar alasan ‘bersabar’, mereka mahu bukti nyata pertumbuhan ekonomi benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan seharian.

Seperti diingatkan Pakar Ekonomi Amerika Syarikat (AS), Joseph Stiglitz, ekonomi yang hanya menguntungkan elit akhirnya akan gagal.

Belanjawan 2026 menjadi ujian sebenar keberanian kerajaan melakukan reformasi struktur demi masa hadapan negara.-UTUSAN

 

DATUK Seri Amir Hussien ialah bekas Pengerusi Perbadanan Labuan yang kini merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×