Keamanan terpelihara bila nadi rakyat didengari

Keamanan terpelihara bila nadi rakyat didengari

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan bahawa Malaysia bebas daripada wabak virus Nipah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS 68 tahun merdeka, Malaysia berdiri sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan dihormati di peringkat antarabangsa. Namun, kemerdekaan bukan sekadar angka tahunan yang disambut dengan kibaran Jalur Gemilang, perarakan, bunga api dan cuti umum.

Ia lebih mendalam daripada itu. Ia peluang untuk rakyat merenung kembali makna kebebasan, perjuangan generasi terdahulu dalam menuntut kemerdekaan dan tanggungjawab generasi kini terhadap tanah air.

Kemerdekaan ialah ruang untuk kita menilai pencapaian, menginsafi kelemahan dan menanam tekad memperkukuh asas negara. Ia juga mengingatkan kita kebebasan yang dikecapi hari ini datang dengan harga yang mahal dari pengorbanan darah, air mata dan keringat para pejuang bangsa.

Antara nikmat terbesar yang dinikmati ialah keamanan. Hidup dalam suasana aman membolehkan rakyat menjalani kehidupan tanpa rasa takut, membesarkan keluarga dalam ketenteraman serta menikmati peluang pendidikan dan ekonomi yang stabil.

Namun, keamanan sering dianggap remeh kerana ia tidak dapat diukur dengan wang ringgit. Ramai hanya menyedari nilainya apabila ia hilang. Lihatlah bagaimana konflik di negara-negara lain seperti Syria dan Myanmar meragut ribuan nyawa, menghancurkan infrastruktur serta memaksa jutaan rakyat menjadi pelarian.

Malaysia sendiri pernah diuji dengan ancaman komunis pada era Darurat (1948–1960), rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, serta beberapa insiden keganasan lain. Tetapi hasil kebijaksanaan pemimpin dan kematangan rakyat, negara ini berjaya memulihkan keadaan dan kembali stabil.

Hari ini, keamanan menjadi asas kepada kemajuan ekonomi. Pelabur antarabangsa yakin untuk menanam modal di Malaysia kerana kestabilan politik dan sosial yang kita kecapi. Industri pelancongan juga berkembang kerana negara ini dikenali sebagai destinasi yang selamat. Kesemua ini adalah bukti keamanan ialah tiang seri yang harus dipertahankan dengan segala daya.

Selain keamanan, perpaduan merupakan tiang seri kemerdekaan Malaysia. Sebagai negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, Malaysia berdepan cabaran unik. Namun, pemimpin terdahulu bijak merangka kontrak sosial yang menjadi asas kepada keharmonian bersama.

Sejarah membuktikan perpaduan rakyat menjadi benteng utama ketika negara menghadapi cabaran besar. Semasa krisis ekonomi Asia 1997, rakyat pelbagai kaum berganding bahu menyokong usaha kerajaan memulihkan ekonomi. Ketika pandemik Covid-19, semangat sama dapat dilihat apabila rakyat daripada pelbagai latar belakang saling membantu melalui inisiatif bantuan makanan, sukarelawan dan derma.

Namun, perpaduan bukan sesuatu yang kekal secara automatik. Ia memerlukan usaha berterusan untuk dipupuk dan dipelihara. Dalam era media sosial hari ini, fitnah, hasutan dan salah faham mudah tersebar. Jika tidak ditangani dengan bijak, ia boleh menghakis ikatan yang telah dibina sejak merdeka.

Oleh itu, setiap sambutan kemerdekaan harus menjadi peluang untuk memperbaharui komitmen memelihara perpaduan. Kepelbagaian bangsa dan budaya bukanlah liabiliti, sebaliknya ia adalah aset berharga yang menjadikan Malaysia unik di mata dunia.

MENGINSAFI KRISIS DI INDONESIA

Indonesia kini berdepan krisis protes rakyat yang menggoncang kestabilan politik dan sosial. Demonstrasi besar-besaran tercetus akibat rasa tidak puas hati terhadap peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan, isu pentadbiran dan kenaikan cukai yang mendadak.

Peristiwa ini mengingatkan keamanan dan perpaduan tidak boleh diambil mudah. Ia boleh runtuh dalam sekelip mata sekiranya aspirasi rakyat tidak didengari. Protes jalanan yang berpanjangan bukan sahaja menjejaskan imej negara di mata dunia tetapi juga merencatkan ekonomi serta mengganggu ketenteraman awam.

Sebagai jiran serumpun yang berkongsi sejarah, budaya dan bahasa, Malaysia harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Indonesia. Terdapat beberapa pengajaran penting:
– Rakyat perlu didengar: Suara rakyat yang diabaikan akan diterjemahkan dalam bentuk demonstrasi.
– Pemerintah mesti peka: Dasar yang tidak mengambil kira keperluan rakyat hanya menambah jurang ketidakpuasan.
– Keamanan boleh hilang jika lalai: Ia memerlukan pemeliharaan berterusan.
– Kepenetingan kematangan politik: Demokrasi menuntut kesediaan berunding dan mencari titik persamaan.

Bagi Malaysia, iktibar ini sangat relevan. Kita tidak boleh leka dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya perlu terus memastikan hubungan kerajaan-rakyat kekal rapat.

DENGAR DENYUT NADI RAKYAT

Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan tetapi juga bermaksud rakyat mempunyai ruang untuk bersuara dan menentukan hala tuju negara. Dalam konteks moden, kemerdekaan hanya bermakna jika rakyat merasa dihargai dan didengari.

Pemerintah perlu sentiasa peka terhadap isu yang membelenggu rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti, sistem kesihatan cekap serta keadilan sosial. Dasar yang digubal mestilah berteraskan aspirasi rakyat kebanyakan, bukan hanya kepentingan kelompok tertentu.

Saluran komunikasi antara kerajaan dan rakyat mesti terbuka luas. Era digital memberi peluang kepada kerajaan untuk berhubung secara langsung dengan rakyat, menilai keberkesanan dasar dan menerima maklum balas segera. Jika ruang ini digunakan dengan telus, Malaysia mampu mengekalkan kestabilan politik dan sosial.

Selepas lebih enam dekad merdeka, aspirasi rakyat semakin berkembang. Jika dahulu fokus utama ialah ekonomi dan infrastruktur, hari ini rakyat menuntut lebih daripada itu. Antara aspirasi yang jelas ialah:
– Pendidikan berkualiti dan adil: Supaya anak-anak daripada semua latar belakang mendapat peluang sama.
– Sistem kesihatan cekap: Agar setiap rakyat menerima layanan setara tanpa diskriminasi.
– Keadilan sosial: Supaya tiada kumpulan masyarakat merasa terpinggir.
– Kebebasan bersuara dalam ruang sihat: Agar kritikan terhadap kerajaan dilihat sebagai usaha membina.
– Pemerintahan telus dan bebas rasuah: Rasuah adalah barah yang mampu menghancurkan negara.

Aspirasi ini wajar dijadikan panduan oleh pemerintah dalam merangka dasar negara. Hanya dengan itu rakyat akan merasa mereka sebahagian daripada perjalanan kemerdekaan, bukan sekadar penonton.

Kemerdekaan adalah amanah yang diwarisi daripada pengorbanan pejuang terdahulu. Mereka menentang penjajahan supaya generasi kini dapat hidup dalam kebebasan. Oleh itu, rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab besar untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Semangat persatuan dalam kepelbagaian kaum dan agama ialah benteng utama yang membolehkan Malaysia melangkah ke hadapan tanpa terjerumus dalam konflik dalaman. Ia perlu terus diperkukuh melalui pendidikan, dialog antara budaya serta dasar inklusif yang memastikan tiada rakyat merasa terpinggir.-UTUSAN

 

DR. Mohamad Faizal Abd. Matalib ialah Pensyarah Kanan, Unit Kenegaraan dan Sejarah Malaysia, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×