MUNICH: Harry Kane membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila meledak dua gol untuk membantu Bayern Munich menewaskan Chelsea 3-1 dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara Eropah, semalam.
Penyerang England itu, menyumbang gol kedua Bayern pada minit ke-27 menerusi sepakan penalti selepas jaringan sendiri pemain Chelsea, Trevoh Chalobah, menghadiahkan gol pembukaan buat tuan rumah pada minit ke-20.
Chelsea bagaimanapun segera bangkit apabila Cole Palmer merapatkan jurang hanya dua minit kemudian, namun Kane sekali lagi menjadi pemusnah apabila menyudahkan peluang pada minit ke-63.
Kemenangan itu menyaksikan Bayern memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan kemenangan buat kali ke-22 berturut-turut selain mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua kejohanan.
“Keputusan yang hebat, prestasi cemerlang menentang pasukan berkualiti. Kami kecewa selepas bolos sejurus gol kedua, tetapi kami kekal tenang.
“Separuh masa kedua kami bermain lebih baik, mereka penat dan ruang mula terbuka. Ia perlawanan fizikal yang sukar, kami gembira dengan keputusan ini,” kata Kane.
Kane kini mengumpul 21 gol dalam saingan Liga Juara-Juara bersama Tottenham dan Bayern, sekali gus menjadi antara tiga pemain sahaja yang berjaya meledak 20 gol atau lebih bersama dua kelab berbeza, menyertai Cristiano Ronaldo dan Neymar.- AGENSI/UTUSAN










