PETALING JAYA: Tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang digantung Persekutuan Bolasepak Antabangsa (FIFA) tidak boleh beraksi dalam mana-mana perlawanan Liga Malaysia (Liga M)
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan berkata, pemain terbabit ialah Joao Figuiredo, Hector Hevel dan Jon Irazabal.
“MFL mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan penggantungan tujuh pemain warisan selama 12 bulan oleh FIFA.
“Berdasarkan keputusan FIFA itu, MFL mengesahkan bahawa tiga pemain JDT yang turut terlibat iaitu Figueiredo, Irazabal dan Hevel tidak boleh beraksi dalam mana-mana pertandingan Liga Msepanjang tempoh penggantungan.
“Tindakan susulan bagi kes ini hanya akan dibuat MFL apabila keputusan rayuan FAM diumumkan oleh FIFA selepas ini,” kata penganjur Liga M itu.
Jumaat lalu, FIFA menggantung tujuh pemain warisan babitkan Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Figueiredo, Irazabal dan Hevel daripada sebarang aktiviti bola sepak berkuatkuasa serta merta selama 12 bulan.
Penggantungan itu dibuat Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas mereka didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen untuk membolehkan semua pemain terbabit mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa. – UTUSAN










