PETALING JAYA: Hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya mengelirukan dan prosesnya mempunyai ‘kecacatan’.
Presiden Kelab Bola Sepak Kelantan The Real Warriors (Kelantan-TRW), Tan Sri Annuar Musa menegaskan, Malaysia mempunyai peraturan pemberian kerakyatan yang ketat dan segala prosedur telah dipatuhi oleh pihak berwajib, termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti yang dijelaskan oleh menterinya baru-baru ini.
Justeru, katanya., sebarang tuduhan mengenai keraguan status pemain sepatutnya tidak timbul.
“FIFA menjatuhkan hukuman setelah mereka sendiri meluluskan pemain berkenaan mewakili negara. Tindakan ini amat mengelirukan dan menimbulkan tanda tanya.
“FAM serta pemain seharusnya kekal ‘innocent until proven guilty’ (tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah) dan bukannya terus dihukum tanpa peluang membela diri,” kata Annuar.
Beliau menegaskan bahawa cara hukuman itu diumumkan secara terbuka tanpa fakta lengkap telah menjejaskan reputasi FAM dan meletakkan pemain dalam situasi tidak adil sehingga mencetuskan polemik besar dalam kalangan masyarakat.
“Hukuman yang dikenakan seolah-olah ada kecacatan kepada proses menghukum. Pengumuman yang disebar luas tanpa fakta kes yang jelas telah meletakkan FAM dan pemain pada situasi tidak adil dan terpaksa berdepan pelbagai polemik yang tidak terkawal,” jelasnya.
Annuar turut mengingatkan FIFA bahawa mereka mempunyai tanggungjawab menjaga reputasi setiap ahli gabungan serta menghormati kedaulatan undang-undang negara anggota.
Menurutnya, kesamaran dan keraguan dalam proses membuat keputusan harus dielakkan.
Sehubungan itu, beliau berharap FAM mengambil tindakan segera dan tegas dalam mempertahankan kedudukan pemain Harimau Malaya, terutama dari aspek kerakyatan yang telah diperoleh mengikut lunas undang-undang negara.
“Kerakyatan adalah hak dan kedaulatan undang-undang negara. FIFA perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai keputusan ini, dan tidak boleh membiarkan Malaysia serta pemain terpalit tanpa pembelaan sewajarnya,” tegas Annuar. – UTUSAN










