PETALING JAYA: Pemain pertahanan Selangor FC, Kevin Deeromram berkata, fokus utama skuad Red Giants untuk meraih tiga mata apabila melayan kunjungan Bangkok United dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini.
Beliau berkata, sasaran Selangor bukan sekadar mahu membuat penampilan, sebaliknya berjuang habis-habisan untuk memastikan kempen di pentas Asia bermula dengan langkah kanan.
“Sasaran kami adalah untuk bermain sebanyak mungkin perlawanan di saingan ACL . Kami sangat teruja untuk memulakan kempen ini dan sudah tentu mahu dapatkan tiga mata di laman sendiri,” katanya pada sidang media praperlawanan.
Mengulas lanjut, Deeromram menyifatkan pasukan dari Thailand itu sebagai lawan yang berpengalaman serta memiliki barisan pemain berkualiti di bawah bimbingan jurulatih yang lama bersama kelab tersebut.
“Bangkok United antara dua pasukan terbaik di Thailand. Mereka ada jurulatih yang sudah lama di sana dan pemain yang bagus. Bagi saya, jika kami mampu seri dengan Buriram di tempat lawan, tidak mustahil kami boleh raih tiga mata di laman sendiri.
“Fokus sekarang adalah perlawanan esok (hari ini) . Apa-apa maklumat tambahan saya akan kongsi dengan jurulatih, tapi yang penting kami akan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk kejar kemenangan,” jelasnya.
Aksi menentang Bangkok United bakal menjadi kayu ukur sebenar keupayaan skuad kendalian Katsuhito Kinoshi dalam mengharungi saingan ACL2 musim ini. – UTUSAN










