ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah FA, Victor Andrag menegaskan pasukannya tidak akan mengambil mudah cabaran Perlis GSA FC dalam perlawanan sulung Liga A1 yang berlangsung di gelanggang lawan, malam ini.
Namun beliau berkata, biarpun pasukan baharu, persediaan Kedah FA tetap berjalan sebaik mungkin meskipun berdepan beberapa kekangan terutama kelewatan mendapatkan khidmat pemain import.
“Kita mula agak lewat mencari pemain import, kehadiran mereka pun agak lambat jadi proses mendapatkan persefahaman dengan pemain sedia ada agak mencabar.
“Pemain import dengan kita tak sampai 10 hari, malah ada yang baru empat hari tiba. Jadi memang banyak yang perlu diperbaiki,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, semalam.
Kedah FA mendapatkan khidmat tiga pemain import iaitu Pape Abdoulaye Diakite dari Senegal yang beraksi sebagai bek tengah; penyerang dari Nigeria, Adam Azeez Arisekola dan bekas pemain tengah Sri Pahang, Yakubu Abubakar dari Ghana.
Menurutnya, walaupun tempoh masa untuk membentuk keserasian pasukan agak singkat, beliau optimis skuad bimbingannya mampu memberikan tentangan sengit kepada Perlis GSA.
“Setiap perlawanan pertama sangat penting untuk membuka langkah ke perlawanan seterusnya. Kemenangan pada Sabtu ini akan menjadi pembakar semangat kepada pemain dan penyokong.
“Kita tak boleh memandang rendah Perlis GSA. Mereka juara Liga A2 dan bermain di tempat sendiri. Jadi kita perlu bekerja lebih keras untuk mencapai kemenangan,” jelasnya.
Victor menjelaskan, pembinaan pasukan Kedah FA musim ini ibarat bermula dari kosong sekali gus memerlukan masa yang lebih panjang untuk mewujudkan keserasian dalam kalangan pemain.
“Saya harap walaupun kita pasukan baharu, kita dapat menunjukkan peningkatan dari sehari ke sehari, dan dari satu perlawanan ke perlawanan seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Victor memaklumkan beberapa pemain utama Kedah FA mengalami kecederaan ringan namun dijangka sempat pulih menjelang perlawanan berdepan Perlis GSA.
“Ada beberapa pemain dalam bayangan kesebelasan utama mengalami kecederaan ringan. Kita berharap mereka dapat kembali cergas dan bersedia untuk diturunkan pada Sabtu nanti,” jelasnya.
Tambahnya, barisan kejurulatihan kini sedang meneliti pelbagai kombinasi terbaik untuk diterapkan bagi memastikan pasukan dapat memulakan saingan dengan langkah kanan.
“Kita cuba untuk turunkan barisan terbaik. Walaupun ada beberapa kekangan, kita mahu pastikan persembahan pasukan berada pada tahap yang membanggakan,” ujarnya. – UTUSAN











