Ekonomi Iran menguncup 10 peratus akibat perang - Utusan Malaysia

Ekonomi Iran menguncup 10 peratus akibat perang

EKONOMI Iran menguncup 10 peratus akibat perang AS-Israel sehingga membebankan penduduk. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Ekonomi Iran me­nguncup 10.1 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026, susulan kesan konflik berterusan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang menjejaskan aktiviti ekonomi negara itu.

Pusat Statistik Iran dalam kenya­taan kelmarin memaklumkan, penguncupan itu direkodkan bagi tempoh akhir Mac hingga penghujung Jun tahun ini.

Konflik bermula selepas serangan AS dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari sehingga mengorbankan Pemimpin Ter­tingginya, Ayatollah Ali Khameni serta beberapa pegawai kanan tentera, sebelum mencetuskan serangan besar-besaran terhadap republik Islam itu.

Sebagai tindak balas, Teheran bertindak menyekat Selat Hormuz, laluan utama penghantaran minyak dunia.

Tindakan itu menyebabkan harga minyak melonjak di pasaran global ketika konflik semakin meluas di Asia Barat, sekali gus menambah tekanan terhadap ekonomi Iran.

Sebelum perang bermula, ekonomi Iran sudah terjejas akibat inflasi tinggi, kejatuhan nilai mata wang dan sekatan ekonomi antarabangsa. Konflik berkenaan kini menambah tekanan terhadap ekonomi negara itu yang sudah lama berdepan masalah tersebut.

Angka terbaharu Pusat Statistik Iran itu antara petunjuk rasmi paling jelas mengenai kesan ekonomi sejak konflik tercetus.

Bagaimanapun, pusat berke­naan tidak memberikan perincian mengenai sektor ekonomi yang mencatatkan kerugian pa­ling besar.

Negara kaya dengan minyak  itu, yang mempunyai penduduk lebih 92 juta orang, telah mempelbagaikan ekonominya. 

Namun, rakyat Iran kini me­rasai kesan langsung daripada sekatan dan perang yang sedang berlaku. 

Menurut laporan Pusat Statistik Iran yang dikeluarkan pada akhir Julai, kadar inflasi tahun ke tahun adalah sekitar 88 peratus.

Kadar pengangguran belia pada musim bunga ialah 23.4 peratus, meningkat 3.7 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, menurut Pusat Statistik Iran.

Kadar pengangguran keselu­ruhan pula ialah 9.1 peratus dalam tempoh sama. 

Namun, kadar penyertaan tenaga buruh hanya 40 peratus, bermakna kebanyakan penduduk usia bekerja berada di luar tenaga buruh rasmi, dengan ramai be­kerja dalam pekerjaan tidak tetap dan sektor tidak formal. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×