Lelaki Orang Asli maut diserang harimau belang - Utusan Malaysia

Lelaki Orang Asli maut diserang harimau belang

LELAKI Orang Asli, Zamberi Angah maut selepas dipercayai diserang harimau belang ketika mencari rotan di Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Seorang lelaki Orang Asli maut selepas dipercayai diserang harimau belang ketika mencari rotan di Kampung Takung, Pos Perwor, di sini semalam.

Mayat mangsa, Zamberi Angah, 43, ditemukan pada pukul 6:58 petang di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak.

Difahamkan, mangsa ketika itu sedang mencari rotan bersama rakannya di kawasan Hutan Simpan Korbu sebelum diserang haiwan berkenaan.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menerima aduan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.30 petang sebelum operasi pencarian dimulakan pada pukul 6.30 petang.

Mangsa ditemukan kira-kira 28 minit kemudian di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak, kira-kira 200 meter dari lokasi yang dipercayai berlaku serangan.

Difahamkan, kesan tapak kaki harimau belang serta kesan gigitan pada leher mangsa turut ditemukan, selain beberapa petunjuk lain seperti kesan pergelutan, seretan dan darah di sekitar lokasi penemuan mangsa.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Dr. Pazil Abdul Patah berkata, pihaknya telah bertemu dengan anak mangsa dan akan membantu keluarga berkenaan mendapatkan Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar.

Katanya, khidmat nasihat berkaitan langkah-langkah keselamatan turut diberikan kepada penduduk kampung bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Pemasangan perangkap harimau belang akan dijalankan dalam masa terdekat bagi mengesan dan menangkap haiwan berkenaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×