Saya garang supaya pelakon tidak ‘cringe’ - Liyana Jasmay - Utusan Malaysia

Saya garang supaya pelakon tidak ‘cringe’ – Liyana Jasmay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya garang supaya mereka tidak ‘cringe’,” 

DEMIKIAN luahan pelakon yang kini bergelar pengarah, Liyana Jasmay mengesahkan khabar angin bahawa dia memang seorang yang sangat garang di set penggambaran. Bagaimanapun, Liyana, 38, berkata setiap pengarah mempunyai cara masing-masing dalam memastikan hasil yang bakal ditampilkan di layar sesuai dengan perancangan naskhah.

Bagi Liyana, filem Pemuja Syaitan arahan pertamanya yang membawa genre horor memerlukan ekspresi pelakon yang meyakinkan supaya tidak dianggap canggung dan memalukan. 

“Kalau pasal garang ini, semua orang tahu saya garang kalau penggambaran. Saya begitu untuk kebaikan pelakon juga. Kita paling takut kalau filem horor tapi ekspresi pelakon semua ‘cringe’.

“Sebab itu saya macam ‘dera’ otak mereka di set cakap ‘tak cukup, tak cukup’. Sebab saya tak mahu mereka rasa geli tengok diri sendiri dalam filem ini. Biar takut itu betul takut. Mungkin sebab dia takut dengan saya, dia nampak betul-betul takut dalam filem, ini dipanggil psikologi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah pemenang Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-22 ini, mereka turut berdepan cabaran apabila melibatkan kejadian mistik di sebah pusat pelancongan di Cherating.

 “Lokasi itu boleh dikatakan tempat tinggal, orang kampung pun tidak masuk kawasan itu. Kawasan itu kami jadikan studio. Bila fikir balik, macam bawa padah dekat diri sendiri. Semestinya kita juga ada buat persediaan dengan kehadiran ustaz yang memantau dan pagar kawasan, cuma ada beberapa kejadian melibatkan teknikal juga apabila lampu kru tiba-tiba terpadam dan gangguan para pelakon.

“Ketika pelakon kerasukan, kita akan bawa ke tepi sebab nampak lembaga. Ustaz bantu apa yang patut. Kita tetap teruskan penggambaran macam biasa dan pelakon yang kena itu tidak demam, cuma rasa takut. Benda-benda ini kalau lagi kita cakap pasal dia, lagi dia suka. Jadi kami tidak fokus sangat hanya baca surah al-Baqarah dan teruskan penggambaran,” katanya.

Tidak terhenti di situ, Liyana juga mengakui turut mengalami kejadian menyeramkan apabila diikuti lembaga hingga ke penginapan. 

“Saya nampak lembaga cuba datang mendekati saya, merangkak. Mungkin hantu raya. Benda itu ikut sampai ke hotel. Selalunya tidaklah sampai begini, bila kejadian di lokasi penggambaran akan habis di situ. Apabila sampai ikut balik bilik, saya rasa ia memang ganas. 

“Saya terus bangun, solat dan mengaji tidak berhenti seharian. Sebab bila bekerja mana kita sempat nak mengaji. Saya rasa puncanya sebab saya tertidur, malam itu tidak baca ayat-ayat yang saya selalu amalkan,” katanya.

Tambahnya, dia juga turut mengingatkan kru dan pelakon untuk mengamalkan ayat bacaan suci dan tidak bergantung kepada ustaz semata-mata.

Dalam pada itu, pelakon Papadom ini juga turut berkongsi kejadian kerasukan sebenar turut dirakamkan di dalam kamera dan bakal menjadi sebahagian dalam filem Pemuja Syaitan. 

“Dalam filem ini nanti bila penonton tonton, mereka akan tengok ada yang betul kena rasuk dalam itu. Asalnya dia hanya berlakon sahaja tapi lama kelamaan dia betul-betul kena. 

“Waktu buat suntingan pun boleh rasa sesuatu. Tapi tiada apa-apa terjadi semasa suntingan,” katanya.

Pemuja Syaitan mengisahkan tentang sesi reunion sekumpulan pelajar di sebuah pulau terpencil. Bagaimanapun, satu demi satu kejadian misteri terbongkar hingga membawa rahsia lebih besar.

Turut sama menjayakan naskhah yang bakal ditayangkan pada 15 Oktober ini ialah Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Nadhir Nasar, Dhabita Auji, Ziha Salleh, dan Liyana Jasmay sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×