Tiupan angin cabar misi pemain negara di Paris

Tiupan angin cabar misi pemain negara di Paris

Kenneth Jonassen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bukan sekadar lawan, malah tiupan angin di gelanggang Adidas Arena dijangka menjadi cabaran tambahan buat pemain perseorangan negara pada Kejohanan Badminton Dunia hari ini.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen mendedahkan terdapat sedikit gangguan angin ketika sesi menguji gelanggang kelmarin yang mampu menguji fokus pemain.

“Dewan gelanggang agak bagus tetapi ada sedikit tiupan angin dari satu hujung dan juga dari sisi gelanggang. Namun itu perkara biasa dalam arena moden dan ianya bukan sesuatu yang belum pernah kami hadapi sebelum ini,” kata Jonassen kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Jonassen menegaskan persediaan terakhir pasukan negara berjalan lancar selepas seminggu mengadakan kem latihan di Copenhagen bersama skuad kebangsaan Denmark sejak 18 Ogos lalu.

Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao bakal turun berdepan pemain Switzerland, Tobias Kuenzi pada pusingan pertama petang ini dengan keyakinan tinggi selepas mendapat pengalaman rakan sepelatih bersama pemain No. 2 dunia, Anders Antonsen di Denmark.

“Latihan di Denmark sangat berkualiti dengan sparing yang kuat, fokus tinggi dan keseluruhannya berlangsung dalam intensiti sangat baik.

“Pengalaman yang baik untuk Jun Hao. Selain Antonsen, beliau juga turut menjadi rakan sepelatih bersama beberapa pemain perseorangan Denmark yang lain,” katanya.

Sementara itu, pemain wanita, K. Letshanaa yang akan membuat penampilan sulung di Kejohanan Dunia apabila bakal berdepan pemain Hong Kong, Saloni Samirbhai Mehta dalam misi mencipta kejutan.

Jonassen mengingatkan kedua-dua pemain supaya tampil dengan tahap keyakinan mental tertinggi selain mempercayai segala kerja keras yang sudah dilalui.

“Sasaran saya sentiasa untuk melihat sama ada pada kejohanan utama kami mampu mempamerkan tahap permainan terbaik.

“Keyakinan itu sangat bersifat individu tetapi dari segi mental anda perlu bersedia untuk berikan segalanya dan percaya dengan kerja keras yang sudah dilakukan sepanjang beberapa minggu lalu,” katanya.

Turut melengkapkan jadual perseorangan hari ini adalah pemain profesional wanita negara, Goh Jin Wei yang berdepan cabaran pemain China, Gao Fang Jie. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×