MUKADIMAH
SELEPAS lebih tiga dekad, harapan rakyat Malaysia untuk melihat skuad negara kembali menjulang Piala Thomas kembali menyala menjelang edisi 2026 yang akan berlangsung di Horsens, Denmark pada April depan.
Walaupun cabaran semakin sengit, legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek percaya Malaysia mempunyai pasukan yang cukup stabil dengan syarat, elemen semangat sepasukan seperti 1992 dapat diterapkan semula.
Menurutnya, kejayaan menamatkan kemarau bergantung sepenuhnya kepada kekuatan mental dan semangat satu pasukan, bukan hanya bergantung kepada kehebatan individu semata-mata.
Wartawan Mingguan Malaysia, Khairul Idham Mohamed Zaraai mendapatkan pandangan Rashid mengenai peluang skuad negara pada Piala Thomas 2026, cabaran semasa dan apakah ramuan sebenar untuk membawa pulang trofi berprestij itu ke tanah air.
MINGGUAN: Datuk mungkin boleh cerita sedikit imbas balik kenangan Piala Thomas 1992. Mungkin apa yang Datuk paling masih ingat, yang tak dapat dilupakan?
RASHID: Saat paling manis sudah tentu ketika Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang menjaringkan mata kemenangan menentang Ricky Subagja-Rexy Mainaky untuk memastikan Malaysia rangkul kejuaraan. Itu detik kemuncak kami, sangat sukar dilupakan. Selain itu, kemenangan saya dan rakan-rakan lain juga penuh makna kerana semuanya bertungkus-lumus ke arah satu matlamat bersama.
Datuk, kita dah makin hampir ke Piala Thomas 2026 di Denmark. Berdasarkan perkembangan semasa, adakah skuad negara mempunyai peluang?
Memang. Kalau kita lihat sekarang ni, peluang tu tetap ada. Kita ada dua beregu lelaki yang bagus, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin. Perseorangan pula, saya nampak Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao ada potensi. Kalau dua beregu dan dua perseorangan ni boleh tampil dengan prestasi setara, pasukan kita cukup stabil untuk cabar kejuaraan.
Tapi ramai risau kekuatan perseorangan kita masih rapuh. Pandangan Datuk?
Saya pun nampak benda tu. Sebab tu saya rasa penekanan kena diberikan lebih pada peningkatan kualiti perseorangan. Leong Jun Hao misalnya, dia ada bakat, cuma kena dimatangkan lagi. Kalau kita nak menang, dua perseorangan tak boleh kalah mudah. Dalam format Piala Thomas, satu kekalahan boleh ubah momentum satu pasukan.
Kehadiran Iskandar Zulkarnain dalam BAM, boleh bantu baiki situasi perseorangan?
Masih awal. Dia baru tiga tahun dalam bidang kejurulatihan. Dia pun masih belajar. Cabaran jadi jurulatih bukan setakat faham teknikal, tapi juga cara berkomunikasi, faham psikologi pemain lelaki dan wanita yang berbeza. Tapi kalau dia terus belajar dan adaptasi, saya yakin dia boleh bantu.
Apa yang paling Datuk harap pemain muda kita dapat belajar daripada kisah 1992?
Semangat satu pasukan. 1992 kami menang bukan sebab semua pemain hebat sangat secara individu. Tapi sebab kami bersatu hati. Masa Foo Kok Keong lawan Alan Budikusuma, kami di belakang dia, sorak, bagi semangat. Bila Soo Beng Kiang-Cheah Soon Kit jaringkan mata terakhir, seluruh pasukan rasa itu kemenangan bersama. Itu benda yang kita kena hidupkan balik.
Tapi kalau dibandingkan dengan 1992, dunia badminton sekarang lebih mencabar. Boleh Datuk ulas?
Memang lebih mencabar. Tapi cabaran tu tak seharusnya jadi alasan. Kalau dulu, kita pun lawan pasukan kuat macam China, Indonesia. Tapi semangat tu yang bezakan. Kalau kita hanya harap satu dua pemain bintang tapi tak ada kerjasama, memang susah nak menang Piala Thomas.
Jadi Datuk optimis Piala Thomas 2026 boleh jadi titik kebangkitan?
Saya optimis, tapi dengan syarat semua pihak kena main peranan. Jurulatih, pemain, penyokong. Tekanan tu memang akan ada. Tapi kalau kita satukan usaha dan tanam semangat macam 1992, tak mustahil kita cipta sejarah semula. – UTUSAN










