PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) tidak akan ambil mudah aksi pusingan 16 Piala FA meskipun akan turun berdepan pasukan dari Liga A1 Semi-Pro, Malaysian University (MU) di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ, petang ini.
Perkara itu ditegaskan oleh pengendali Gergasi Merah, Katsuhito Kinoshi, berkata setiap perlawanan adalah penting dan perlu dihadapi dengan persediaan rapi, tanpa mengira status atau reputasi pasukan lawan.
Di atas kertas seharusnya Selangor tidak berdepan masalah untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir.
“Kita ada dua perlawanan besar pada bulan ini iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Buriram United yang dianggap dua pasukan terkuat di Asia Tenggara.
“Kita baru sahaja menentang DPMM FC dan selepas ini, kita akan menentang Malaysian University bagi aksi Piala FA. Semua perlawanan adalah sama jadi kita perlu fokus bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
“Kita bangkit daripada kekalahan perlawanan pertama dan kita perlu bersedia sepenuhnya dan mengharung persiapan sebaik mungkin untuk menentang MU. Ini adalah polisi pasukan dan kita harus kekalkan cara SFC,” kata pengendali dari Jepun itu.
Pertembungan ini sepatutnya berlangsung di Stadium USIM, Nilai namun ditukar ke MBPJ dengan MU kekal sebagai pasukan tuan rumah bagi aksi pertama ini manakala perlawanan kedua pusingan 16 akan berlangsung pada 13 September ini.
Untuk rekod, SFC berjaya mara sehingga ke final Piala FA edisi lalu namun impian mereka memburu gelaran keenam tidak kesampaian apabila dibelasah juara bertahan, JDT 6-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ogos lalu. – UTUSAN










