RMK13: Masa hadapan negara bermula di kampus

RMK13: Masa hadapan negara bermula di kampus

INSTITUSI Pengajian Tinggi Awam (IPTA) memainkan peranan penting sebagai pemacu perubahan dalam menjayakan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebuah kampung kecil tidak jauh dari bandar, tinggal tiga saudara tua iaitu Pak Hassan, Mak Som dan Mak Yam. Rumah mereka uzur, berlantaikan tanah, diterangi lampu malap yang disambung dari tiang elektrik jiran.

Pak Hassan, meskipun sudah lanjut usia, masih menjual kuih di pasar pagi demi menyara hidup bertiga. Mak Som menghidap kencing manis yang kronik, manakala Mak Yam sudah tidak mampu berjalan jauh dan hanya termenung di beranda.

Mereka bukan gelandangan tetapi hidup dalam serba kekurangan. Mereka tidak pernah meminta-minta. Kata mereka, “Kami tidak mahu menyusahkan sesiapa.” Namun, apabila hujan melanda, bumbung bocor, makanan basah, ubat-ubatan rosak, hanya belas ihsan jiran muda kampung yang datang menyelamat.

Kisah ini bukan kisah terpencil. Ia mencerminkan kegagalan pembangunan jika rakyat biasa masih hidup terpinggir. Ia mengangkat persoalan asas, adakah pembangunan negara benar-benar menyentuh kehidupan rakyat?

 

MASA HADAPAN DALAM KETIDAKTENTUAN GLOBAL

2025 memperlihatkan dunia dalam fasa ketidaktentuan luar biasa. Ketegangan geopolitik antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China mencetuskan perang teknologi dan perdagangan. Krisis global dari Asia Barat ke Eropah Timur terus menjejaskan bekalan tenaga dan makanan.

Malaysia sebagai negara dagang turut menerima tempiasnya. Tarif eksport meningkat, industri tempatan terjejas dan kos sara hidup melonjak.

Pada masa sama, kita berdepan kesan perubahan iklim seperti banjir besar, kemarau panjang dan ancaman keselamatan makanan. Transformasi digital pula menuntut negara beralih segera kepada ekonomi berasaskan teknologi tinggi.

Dalam situasi bergelora ini, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) hadir sebagai pelan induk penting untuk melakar semula pembangunan negara.

 

RMK13: PELAN BERJIWA RAKYAT

RMK13 bukan sekadar pelan lima tahun. Ia lahir dari keperluan mendesak membina Malaysia yang lebih adil, inklusif dan berperikemanusiaan.

Pembangunan tidak boleh diukur hanya melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau pelaburan asing. Ia mesti menyentuh dapur rakyat, klinik desa dan impian anak muda.

Kisah Pak Hassan dan dua saudara tuanya menjadi simbol keperluan RMK13 agar pembangunan tidak berlaku dari atas ke bawah tetapi dimulakan dengan empati dan keadilan sosial.

 

TIGA TERAS RMK13 & CERMINAN TIGA JIWA TUA

-Menaikkan siling: Tetapi siapa yang terangkat?
Malaysia kini memacu ekonomi bernilai tinggi dalam kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan automasi. Namun, kemajuan ini tidak bermakna jika rakyat seperti Pak Hassan masih menjual kuih tanpa akses ekonomi moden. RMK13 mesti memastikan peluang ekonomi digital terbuka kepada semua termasuk cucu Pak Hassan, agar mereka tidak mewarisi kemiskinan.

-Menaikkan lantai: Agar tiada lagi yang terlupa
Mak Som dan Mak Yam tidak seharusnya bergantung kepada ubat tradisional atau ihsan jiran. Menaikkan lantai bermakna membina sistem sokongan sosial yang benar-benar menyeluruh dari kesihatan, perumahan, ke pendidikan. Kesejahteraan mesti sampai ke pintu rakyat.

-Tatakelola baik: Agar bantuan sampai kepada yang memerlukan
Jika tatakelola baik diamalkan, rumah Pak Hassan sudah lama dibaiki. Bantuan tidak akan hilang dalam ketirisan. RMK13 mesti memastikan setiap sen peruntukan sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.

Tiada siapa harus dilupakan. Bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’, RMK13 berteraskan kerangka Ekonomi Madani dengan prinsip kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Ia mesti bermula bukan sekadar di atas kertas tetapi dari hati dan realiti rakyat.

 

PERANAN IPTA DALAM MENJAYAKAN RMK13

Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memainkan peranan penting sebagai pemacu perubahan dalam menjayakan aspirasi RMK13. IPTA bukan sekadar pusat akademik tetapi jentera pelaksana harapan negara.
Peranan utama IPTA merangkumi:
– Melahirkan modal insan berkualiti untuk ekonomi masa hadapan.
– Menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang teknologi dan sosial.
– Menyantuni komuniti melalui khidmat masyarakat.
– Membentuk kepimpinan beretika dan berintegriti.

IPTA seperti UniMAP mesti membuktikan menara gading adalah tempat membina masa hadapan negara yang adil dan berperikemanusiaan.

 

UNIMAP & ASPIRASI SEMIKONDUKTOR NEGARA

Sebagai universiti teknikal, UniMAP menjadi nadi kepada industri semikonduktor Malaysia. Lebih 65 peratus programnya menyokong rantaian nilai semikonduktor, dari reka bentuk ke pembungkusan.

Pelajar UniMAP diajar menggunakan perisian Electronic Design Automation (EDA) tools terkini, memasuki makmal Cleanroom seawal tahun kedua dan menjalani latihan industri bersama syarikat utama seperti SkyeChip, Intel dan Nihon Superior. UniMAP juga menjalin kerjasama strategik bersama syarikat global seperti Oppstar dan Micron.

Antara kekuatan UniMAP:
– 47 program diploma dan sarjana muda serta 91 bidang pascasiswazah.
– 12 makmal industri dan kilang mengajar di bawah Pusat TVET.
– Pensijilan profesional bersama Siemens, Huawei, Keysight, dan lain-lain.
– 16 Pusat Kecemerlangan termasuk Center of Excellence for Micro System Technology (MiCTEC) untuk mikroelektronik.
Kerjasama ini memastikan pengajaran dan penyelidikan kekal relevan, selari dengan kehendak industri dan mampu melahirkan pereka cip buatan Malaysia.

MASA HADAPAN BERMULA DI KAMPUS

RMK13 bukan hanya pelan pembangunan tetapi manifestasi harapan untuk masa hadapan Malaysia yang inklusif, lestari dan adil. Dalam misi ini, IPTA seperti UniMAP adalah pemacu transformasi.

Dengan semangat madani yang menekankan nilai kemanusiaan, keadilan dan kemajuan, universiti harus menjadi arkitek perubahan. Masa hadapan negara tidak bermula di dewan menteri tetapi di bilik kuliah, makmal dan komuniti desa dengan RMK13 adalah peta jalannya.-UTUSAN

 

PROFESOR Datuk Dr. Zaliman Sauli ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×