RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) bertema ‘Melakar Semula Pembangunan’ untuk tempoh 2026-2030 menandakan permulaan era baharu dalam sejarah perancangan pembangunan negara.
Tema ini mencerminkan kesedaran mendalam yang Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada model pembangunan lama berasaskan kos buruh rendah dan eksport komoditi. Sebaliknya, mesti bersiap sedia menyertai liga negara-negara maju yang menguasai teknologi canggih, khususnya kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
Aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara AI yang terangkum dan mampan menjelang 2030 mencerminkan pemahaman realistik masa hadapan dunia akan dikuasai negara-negara yang berjaya mengintegrasikan teknologi termaju ke dalam semua aspek kehidupan masyarakat.
EMPAT TONGGAK TRANSFORMASI
RMK13 dibina atas empat tonggak utama yang saling berkaitan dan memperkukuh antara satu sama lain. Tonggak pertama, Meningkatkan Kerencamaan Ekonomi, memfokuskan peralihan daripada ekonomi berasaskan pembuatan kepada ekonomi berteraskan inovasi dan teknologi tinggi. Ini melibatkan pembangunan industri strategik seperti semikonduktor termaju, aeroangkasa dan bioteknologi, di samping penguatan sektor perkhidmatan berimpak tinggi.
Tonggak kedua, Meningkatkan Mobiliti Sosial, mengakui pembangunan ekonomi mampan mesti disokong masyarakat terdidik, mahir dan mempunyai akses saksama kepada peluang ekonomi.
Reformasi sistem pendidikan untuk menekankan kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), literasi digital, program pembangunan modal insan yang komprehensif selain inisiatif untuk mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar menjadi tumpuan utama.
Tonggak ketiga, Mempercepat Pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, mengiktiraf transformasi ekonomi dan sosial tidak mungkin berjaya tanpa kerajaan yang cekap, telus serta responsif. Penekanan kepada digitalisasi perkhidmatan awam, penguatan tadbir urus dan peningkatan integriti dalam sektor awam kritikal untuk menyokong aspirasi pembangunan yang lebih luas.
Tonggak keempat, Mempertingkatkan Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Alam Sekitar, mencerminkan pendekatan pembangunan berwawasan jangka panjang. Ia mengambil kira cabaran demografik seperti penduduk yang semakin tua, keperluan untuk sistem penjagaan kesihatan berkualiti dan kewajipan untuk memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.
VISI MALAYSIA SEBAGAI NEGARA AI
Kerangka pembangunan negara AI yang digariskan berasaskan lima elemen penting iaitu membangunkan dasar yang komprehensif, memperkukuh pembangunan bakat dan kemahiran, mempertingkatkan infrastruktur digital dan data, meningkatkan kepercayaan digital dalam kalangan rakyat serta mempertingkatkan pelaburan strategik dalam teknologi termaju.
Namun demikian, Malaysia terpaksa bersaing dengan Singapura, Korea Selatan dan China yang mendahului dalam bidang AI dan teknologi digital. Kekurangan tenaga pakar dalam bidang AI, infrastruktur digital yang masih terhad di sesetengah kawasan dan keperluan untuk pelaburan besar dalam penyelidikan serta pembangunan merupakan halangan utama yang mesti diatasi.
Malaysia mempunyai beberapa kelebihan kompetitif yang boleh dimanfaatkan. Kedudukan geografi yang strategik sebagai hab untuk rantau Asia Tenggara, populasi muda yang boleh dilatih dalam kemahiran digital dan asas infrastruktur telekomunikasi yang relatif baik memberikan peluang untuk berjaya dalam transformasi ini.
SISTEM SOSIAL
Konsep sistem sosial berteraskan insan madani yang diperkenalkan dalam RMK13 merupakan usaha unik untuk mengintegrasikan pembangunan ekonomi dengan nilai-nilai kemanusiaan dan kerohanian.
Insan madani digambarkan sebagai individu seimbang dari segi akal, akhlak dan tindakan. Ia juga berlandaskan nilai-nilai keadilan, menghormati kepelbagaian, saling menghormati dan bersatu padu, mencerminkan aspirasi untuk membentuk masyarakat yang tidak hanya maju dari segi material tetapi juga harmoni dari segi sosial.
Pendekatan ini tepat pada masanya kerana pembangunan yang hanya menekankan pertumbuhan ekonomi tanpa mengambil kira aspek kemanusiaan sering mengakibatkan ketidaksamarataan sosial, kemusnahan alam sekitar dan kehilangan identiti budaya. Dengan meletakkan insan madani sebagai teras pembangunan, RMK13 cuba mencapai keseimbangan antara kemajuan material dan kesejahteraan spiritual masyarakat.
Namun, cabaran utama terletak pada cara menterjemahkan konsep abstrak ini kepada program-program konkrit yang boleh dilaksanakan dan diukur. Bagaimana kerajaan akan memastikan setiap dasar dan program pembangunan menyumbang kepada pembentukan insan madani? Apakah indikator dan metrik yang akan digunakan untuk mengukur kejayaan dalam aspek ini?
TRANSFORMASI EKONOMI
Penekanan pembangunan industri strategik seperti semikonduktor termaju, aeroangkasa dan bioteknologi mencerminkan kesedaran Malaysia mesti menaiki rantaian nilai dalam sektor-sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi. Ini bukan sahaja akan meningkatkan produktiviti dan daya saing negara, tetapi juga mencipta peluang pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.
Inisiatif memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui digitalisasi adalah strategi yang bijak menyumbang lebih daripada 90 peratus daripada jumlah perusahaan di Malaysia. Program-program untuk meningkatkan akses PKS kepada teknologi digital, pembiayaan dan pasaran antarabangsa akan membantu mereka bersaing dalam ekonomi global yang semakin kompetitif.
Walau bagaimanapun, peralihan daripada ekonomi pembuatan kepada berasaskan pengetahuan mungkin mengakibatkan kehilangan pekerjaan dalam sektor-sektor tradisional. Kerajaan mesti memastikan program-program latihan semula dan peningkatan kemahiran disediakan untuk membantu pekerja menyesuaikan diri dengan keperluan ekonomi baharu.
PEMBANGUNAN MODAL INSAN
Reformasi sistem pendidikan untuk menekankan kemahiran STEM, literasi digital dan pemikiran kritikal adalah langkah tepat untuk menyediakan generasi akan datang dengan kemahiran yang diperlukan dalam ekonomi digital.
Program-program pembangunan modal insan yang merangkumi latihan vokasional, peningkatan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat akan membantu rakyat kekal relevan dalam pasaran kerja yang berubah dengan pantas. Inisiatif untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang STEM dan kepimpinan korporat juga penting untuk memastikan pemanfaatan sepenuhnya bakat yang ada dalam masyarakat.
RMK13 mewakili visi yang berani dan komprehensif untuk mentransformasikan Malaysia kepada sebuah negara maju yang berteraskan teknologi termaju dan nilai-nilai kemanusiaan yang universal.-UTUSAN
DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.










