“Bagi Madhavi, sejak datuknya, Kumara Kurunadhar datang ke sini dari Kerala sebagai krani dahulu dan terlibat sama dalam pembangunan ekonomi Malaya, sejak itulah tanah ini menjadi tanah tumpah darahnya.
“Atas dasar itulah juga Vijay Kumar turut bergiat bersama-sama penduduk lain untuk membebaskan negara ini daripada belenggu penjajah. Cita-cita Vijay Kumar adalah agar MCA, MIC dan UMNO bersatu, bekerjasama dan seiring menuntut kemerdekaan.”
Demikian petikan daripada cerpen Nayagi yang saya tulis pada Februari 1992 iaitu pada usia 20 tahun. Cerpen ini menggunakan latar masa sekitar Ogos 1950 dan digambarkan berlaku di sebuah kampung kecil bernama Siru Kambam di Taiping, Perak.
Apabila siap ditaip kemas menggunakan mesin taip Olivetti Lettera 32, manuskrip dikirim ke majalah Dewan Siswa melalui pos tetapi tidak tersiar.
Mungkin tema dan muatan cerpen Nayagi terlalu berat bagi sebuah majalah remaja kerana mengangkat soal perjuangan hak wanita, semangat patriotik kaum India terhadap Tanah Melayu serta perjuangan menuntut kemerdekaan negara.
Pada masa itu, saya mendapat tahu tentang pertandingan cerpen anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Lalu, manuskrip sama dihantar tanpa sebarang perubahan.
Memang membanggakan apabila cerpen Nayagi menang tempat pertama Hadiah Cerpen Maybank-DBP 1992, lalu dimuatkan dalam antologi Menara 5 (1993). Cerpen itu turut dimasukkan dalam buku persendirian saya iaitu Siru Kambam (1996), Yang Aneh-aneh (1997), Nayagi (2000) dan Kisah dari Siru Kambam (2013).
Maklum balas yang diterima daripada tokoh seperti Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan dan Datuk A. Samad Said serta Allayarham Dr. Othman Puteh amat mengujakan. Mereka kagum dengan muatan cerita yang segar, baharu dan asli.
Menerusi rencana bertajuk Malayali dalam cerpen Tamil (Utusan Malaysia, 24 Jun 2023), dihuraikan hakikat watak dan budaya komuniti Malayali dan Telugu hampir tiada dalam cerpen dan novel Tamil tempatan.
Malah, karya sastera kebangsaan oleh penulis kaum India yang terdiri daripada keturunan Tamil, Malayali, Punjabi dan Telugu juga rata-rata hanya memperkatakan watak, isu dan budaya komuniti Tamil dalam fiksyen yang dihasilkan sejak 1970-an.
Perkara ini diperincikan dalam buku Kavya Sastra (2021).
“Saya sebenarnya sudah jemu, malah mual, membaca cerpen-cerpen yang menampilkan watak stereotaip kaum India yang digambarkan masih tertumpu setia terhadap negara asal nenek moyang,” saya nyatakan pada bahagian prakata buku Siru Kambam (1996).
Lalu, saya ketengahkan citra baharu kaum India yang berbangga menjadi warga Tanah Melayu jauh sebelum negara ini merdeka.
Saya libatkan mereka bersama-sama penduduk kaum lain dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Malah, dikaitkan dengan perjuangan menuntut hak wanita dalam menentukan masa hadapan.
Cerpen Nayagi diterjemah kepada bahasa Tamil oleh seorang penulis Tamil tempatan, mendiang M. Balachandran untuk siaran dalam dua bahagian di akhbar Shanti (4 dan 11 September 1994).
Cerpen itu juga kemudian kami sama-sama olah menjadi skrip drama radio dan disiarkan di stesen Radio Enam (MinnalFM). Memang cerpen dan drama radio itu menjadi sesuatu yang baharu bagi khalayak kaum India kerana mengangkat watak, keluarga dan budaya Malayali. Malah, menggambarkan latar ladang tebu dan bukannya ladang getah.
Versi terjemahan bahasa Inggeris pula diusahakan oleh bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Lalita Sinha dengan judul Nayagi, Mistress of Destiny atas permintaan Sasterawan Negara Dr. Muhammad Salleh.
Cerpen itu dimuatkan dalam antologi Sea of Rainbows (2009) tetapi saya dan Lalita memang kurang berpuas hati dengan kualiti terjemahan kerana dilakukan secara tergesa-gesa.
Maka, Lalita membuat terjemahan serba baharu untuk kumpulan cerpen The Painted Cat (2023). Seterusnya, versi baharu itu diangkat menjadi salah sebuah cerpen bagi subjek Literature in English peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lalu dimuatkan dalam antologi Malaysian Mosaic (2025).
Perjalanan Nayagi dari 1992 hingga 2025 amat menarik dan istimewa. Saya gembira kerana sebuah cerpen yang diilhamkan 33 tahun lalu masih relevan sehingga kini.
Vasudevan Letchumanan, seorang guru subjek bahasa Inggeris dan Tamil dari Skudai, Johor mengaku sudah berulang kali membaca cerpen Nayagi yang tajuknya membawa makna wirawati.
“Ia umpama memainkan semula babak-babak sejarah 1940-an dan 1950-an, mengingatkan kisah pembunuhan Mahatma Gandhi, serta peristiwa sebelum kemerdekaan Indonesia dan Tanah Melayu,” katanya dalam mesej kepada saya baru-baru ini.
Sai Vijay @ Vijay R. Pragash pula anak muda berumur 25 tahun dari Kajang, Selangor. Graduan seni reka visual dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini turut tertarik dengan Nayagi.
Pemuda ini terlibat dalam pelbagai pameran lukisan sejak usia 15 tahun. Beliau sedang dalam proses menghasilkan enam lukisan berdasarkan petikan cerpen berkenaan untuk pameran solo pertama.
Acara Bicara Nayagi dan Pameran Solo Sai Vijay dijadualkan pada 27 September nanti di Brickfields, Kuala Lumpur. Ia menggabungkan sesi membaca petikan cerpen dalam pelbagai bahasa, diskusi cerpen Nayagi serta pelancaran pameran lukisan.
Saudara saya dari Kerala, India, Bibulal Sadasiva Panicker akan membacakan petikan cerpen dalam bahasa Malayalam, sesuai dengan watak-watak Malayali yang diketengahkan dalam cerpen.
Pengerusi Persatuan Penulis Berbilang Bahasa (PEN Malaysia), Mahi Ramakrishnan dan pengerusi Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan), M. Mahendran sudah mengesahkan penyertaan.
Selain Vasudevan dari Johor, seorang lagi tenaga pengajar, Jeeva Kasthuri Anamalay dari Sungai Petani, Kedah juga akan datang khusus untuk mengambil bahagian.
Harapan saya agar cerpen Nayagi yang berusia lebih 30 tahun mendapat nafas baharu apabila dipersembahkan dalam pelbagai bentuk, bahasa dan melibatkan peserta dari pelbagai generasi dan latar belakang.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










