PSM mahu bersemuka majikan John, Pak Long

PSM mahu bersemuka majikan John, Pak Long

Mohd Sumali Reduan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan berunding dengan majikan Hafizul Hayazi dan Zuleffendi Sumari bagi membolehkan mereka berada dalam skuad negara ke Sukan SEA Thailand 2025.

Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, perbincangan dengan jurulatih telah diadakan untuk memastikan nama Hafizul dan Zuleffendi berada dalam senarai untuk membawa cabaran negara pada temasya dwitahunan itu.

“Saya tengah berusaha untuk dua pemain ini, John (Hafizul) dan Pak Long (Zuleffendi). Saya tahu (prestasi mereka), saya pun mengamati setiap perlawanan STL (Liga Sepak Takraw), jarang saya terlepas untuk tengok walaupun saya tengok di televisyen atau telefon.

“Memang saya dah bercakap dengan jurulatih untuk bawa Pak Long dengan John masuk ke dalam skuad kebangsaan, kami memerlukan dua pemain ini dan sebenarnya memang sebelum ini pun ada dalam skuad, tetapi semua faham, semua tahu ada masalah.

“John ada masalah dengan majikan dia dan Pak Long pun sama. Saya akan berusaha untuk berjumpa dengan majikan masing-masing dalam masa terdekat untuk merayu pelepasan untuk John dan Pak Long untuk duduk dalam skuad kebangsaan,” katanya.

Sebelum ini, nama Hafizul dan Zuleffendi tercicir daripada skuad kebangsaan selepas didakwa tidak mendapat pelepasan majikan memandangkan kedua-duanya memerlukan cuti panjang untuk menyertai kem latihan pusat.

Kedua-dua pemain tersebut yang bergandingan dengan Haziq Hairul Nizam (tekong) berada di prestasi terbaik ketika ini apabila membawa Negeri Sembilan Antlers menjuarai Grand Prix Negeri Sembilan dan Johor dalam saingan STL.

Mengulas sasaran PSM di Sukan SEA 2025, Sumali berkata, pihaknya realistik dengan sasaran dua emas menerusi acara regu lelaki dan kuadran lelaki selain dua perak dalam acara kuadran campuran dan regu berpasukan lelaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×